HomeBeritaPolitikPRN: UMNO kena bantai teruk pun, Zahid tak akan undur - KJ

PRN: UMNO kena bantai teruk pun, Zahid tak akan undur – KJ

CYBERJAYA: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan letak jawatan sebagai presiden UMNO sekiranya keputusan parti itu merundum dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini.

“Zahid Hamidi tak akan turun. UMNO akan kekal seperti biasa. UMNO akan buat tak tahu. Sebab saya punya ramalan seperti Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, sama juga.

“UMNO kena bantai teruk pun, dia akan buat tak tahu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Bekas Ketua Pemuda UMNO berkata demikian selepas mengundi di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim, Rembau, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Mengulas isu berkaitan peratusan keluar mengundi yang rendah, Khairy turut tidak menolak ia adalah disebabkan faktor hujan dan orang ramai kurang berminat untuk mengundi.

“Terlalu banyak pilihan raya, mereka dah letih politik. Tetapi seperti mana saya sebutkan tadi, PRN ini penting.

“Walaupun tidak ada kesan kepada kerajaan pusat, tetapi ini boleh menentukan kerajaan di peringkat negeri. Sebenarnya kerajaan negeri inilah banyak menyelesaikan masalah harian rakyat.

“Rakyat biasanya tak ada urusan sangat dengan kerajaan Pusat tetapi dengan kerajaan negeri macam-macam,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan setakat jam 2 petang tadi, Terengganu dan Kedah mencatatkan angka tertinggi pengundian dengan 56 peratus, diikuti Pulau Pinang 53 peratus dan Selangor 51 peratus.

Ia diikuti Negeri Sembilan (49 peratus) dan Kelantan (45 peratus) manakala Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu mencatatkan jumlah pengundian 52 peratus.

Author

Pilihan Editor