HomeBerita‘Saya dah tak nak mengundi tapi..’ - Azwan Ali

‘Saya dah tak nak mengundi tapi..’ – Azwan Ali

CYBERJAYA: Selebriti, Azwan Ali menjadi antara pengundi terawal yang selesai menjalankan tanggungjawab di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Klang Gate, di Hulu Kelang, hari ini.

Azwan yang mesra dengan gelaran Diva AA itu berkata, dia bangun seawal jam 4.30 pagi dan tiba pada pukul 7 pagi di pusat mengundi selepas bertolak dari Semenyih bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang.

Adik calon DUN Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu berkata, pada awalnya, dia enggan keluar mengundi kerana sudah muak dengan situasi politik negara.

“Tapi pagi tadi saya rasa rugi kalau tidak mengundi, dan sebab itu saya datang dari Semenyih dan saya terkejut melihat semua rakan media.

“Saya dah tak nak mengundi, kalau tanya kenapa, tak kuasa ya. Tapi saya terdetik untuk datang sebab saya rasa rugi pula satu undi kerana ia bernilai.

“Ia terlalu berharga, soal menang atau kalah calon yang kita undi itu, bukan isu,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Pengacara sensasi itu turut menyifatkan saingan bagi DUN Hulu Kelang amat sengit.

“Saya undi siapa? Jawapan saya senang, bukan darah daging jadi percaturan… kita undi adik-beradik? Tidak.

“Isunya ialah kita nak pilih pemimpin yang berkaliber,” tambahnya.

Kerusi DUN Hulu Kelang menyaksikan saingan satu lawan satu antara Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor dari Perikatan Nasional (PN) dengan dengan ‘anak didiknya’, Juwairiya Zulkifli mewakili Pakatan Harapan (PH).

Author

Pilihan Editor