MAYAT seorang wanita berbalut plastik ditemui oleh wanita warga emas di dalam kamar tidur anak lelakinya baru-baru ini.
Penemuan itu bermula apabila wanita tersebut sedang memeriksa bau gas memasak di rumah mereka di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada jam 1.15 pagi Ahad.
Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik tersebut, wanita itu terkejut selepas menemui mayat dibungkus dengan plastik.
Dengan perasaan terkejut bercampur takut, wanita itu segera menghubungi pasukan paramedik ke kediamannya, sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.
Pihak berkuasa mengenal pasti identiti mangsa dikenali sebagai Hannah Rachel Collins, yang baru berpindah dari Mississippi ke Los Angeles pada Jun lalu.
Masih belum dapat dipastikan bila dan bagaimana cara kematian mangsa di dalam bilik suspek lelaki berketurunan Sepanyol itu.
Suspek yang berusia 26 tahun itu masih bebas sehingga kini, namun polis tidak mendedahkan butiran lanjut.
Tambah pihak polis lagi, bedah siasat sudah pun selesai dilakukan, namun punca kematian masih belum dapat didedahkan kepada umum.
Menurut waris, Colllins akan menelefon keluarganya setiap minggu, manakala kali terakhir mereka berhubung adalah pada 7 Ogos lalu, beberapa hari selepas mangsa meraikan ulang tahunnya yang ke-30.
Salah seorang rakan Collins yang enggan dikenali berkata, mangsa disifatkan sebagai seorang yang baik hati, menyukai muzik dan tarian namun najis dadah menguasai dirinya.
Rakannya berkata, dia sudah sedaya upaya membantu Collins untuk keluar daripada najis dadah, namun mangsa tetap mahu meneruskan gaya hidup liar.
“Saya tidak suka bergaul dengan orang yang menggunakan dadah atau mabuk semasa mereka memandu atau mencuri barang.
“Saya terkejut kerana apa yang saya mahukan adalah kenangan hidup bahagia dan sihat tentang dia. Tetapi, dia mungkin mencari gaya hidup itu dengan dadah dan saya tidak pernah membayangkan pengakhirannya akan menjadi begitu kejam,” katanya seperti dilapor New York Post.
Profil Facebook Collins memaparkan bahawa dia berasal dari Richland, Mississippi dan pernah tinggal di Jackson.
Pada 2015, dia memberitahu bahawa sudah pun bertunang, namun tidak memberitahu individu yang menjadi bakal suaminya.
Di Facebook juga, dia memberitahu umum bahawa dia mempelajari bidang radiologi di Kolej Komuniti Holmes dan bekerja di kedai Smoothie King.