CYBERJAYA: Syarikat penyedia perkhidmatan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menafikan dakwaan yang mengatakan pihaknya menaja umrah Abang Tesla baru-baru ini.
Andalusia dalam kenyataannya menyatakan, Abang Tesla dan keluarganya membayar sepenuhnya kos percutian dan umrah mereka sendiri.
“Dakwaan ini adalah tidak benar. Abang Tesla dan keluarganya membayar sepenuhnya kos percutian dan umrah (Pakej Umrah Ziarah Istanbul Bursa) mereka sendiri.
“Kami hanya menyediakan perkhidmatan pakej umrah ziarah kepada pelanggan kami yang ingin menunaikan umrah.
“Kami berharap dakwaan ini akan dapat dihentikan dan kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang telah timbul,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.
Syarikat itu turut memohon semua pihak supaya menghormati serta memberi ruang kepada Abang Tesla dan kedua isterinya mengerjakan umrah dengan tenang.
“Kami mohon agar semua pihak dapat menghormati serta memberi ruang kepada Abang Tesla dan kedua-dua isterinya menjalani perjalanan umrah dan ziarah Istanbul mereka bersama dengan tenang dan penuh kasih sayang,” tambahnya.
Sebelum ini, menerusi kapsyen sebuah hantaran di Instagram Abang Tesla memaklumkan perjalanannya ke Istanbul dan umrah ditaja oleh Andalusia Travel & Tours.
Bagaimanapun, tinjauan MEDIA VARIASI mendapati Abang Tesla telah menukar kapsyen di hantaran tersebut kepada ‘Tq @umrahandalusia.hq sebab uruskan trip kami dari A to Z’.