HomeBeritaBudak tunggang basikal maut dirempuh MPV

Budak tunggang basikal maut dirempuh MPV

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika berbasikal di taman perumahan di Kampung Padang Jaya 2, di sini pada petang Rabu.

Muhammad Azzim Imni Mohd Faizal yang juga murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Kampung Padang, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian, kira-kira jam 6.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, pemandu wanita berusia 33 tahun sedang melalui Lorong Kampung Padang Jaya 14 menuju ke Jalan Kampung Padang Jaya 8 untuk ke Sungai Lembing.

“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika MPV sedang bergerak lurus, secara tiba-tiba mangsa yang menunggang basikal melintas dari lorong kiri ke kanan jalan untuk pulang ke rumahnya Lorong Kampung Padang Jaya 15.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu MPV tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa. Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk bedah siasat.

Author

Pilihan Editor