KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung malam ini menjadi tumpuan ramai, susulan kenyataan yang dibuat Ahli MKT, Isham Jalil, yang mendakwa beberapa lagi ahli parti itu akan dipecat.
Isham mendakwa, tindakan terbabit akan dibuat susulan ada ahli dan pemimpin parti begitu lantang mengkritik keputusan kepimpinan UMNO untuk bersama Pakatan Harapan (PH) menyertai pilihan raya.
Kelmarin, Isham dalam kenyataan di Facebook mendakwa ada beberapa lagi ahli UMNO akan dipecat dalam mesyuarat berkenaan dan ada ura-ura bahawa dirinya mungkin turut tersenarai dalam pemecatan berkenaan.
Mesyuarat malam ini juga dijangka membincangkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis, kerana menghadiri majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor baru-baru ini.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima laporan dan akan melakukan sesuatu terhadap tindakan Muhammad Jailani itu.
Muhammad Jailani yang yang juga Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, sebelum ini juga mempertahankan tindakannya dengan menegaskan kehadiran di majlis berkenaan adalah bukan atas kapasiti sebagai ADUN UMNO.
Katanya, kehadirannya itu bagi mewakili badan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional (MN) yang diterajui bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai agenda pemecatan ketika mesyuarat MKT malam ini, Ahmad Zahid secara sinis, berkata sikap Isham yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO itu adalah punca masalah.
“Beliau (Isham) lebih tahu daripada Presiden. Itulah masalahnya,” katanya. – Berita Harian