HomeBeritaPolitik'Dialah orang politik, dialah mufti' - Khaled Nordin bidas Muhyiddin isu haram...

‘Dialah orang politik, dialah mufti’ – Khaled Nordin bidas Muhyiddin isu haram undi calon PH

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menempelak Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan fatwa haram mengundi calon parti dari Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor.

Beliau berkata, lebih baik jangan menganjurkan pilihan raya untuk memilih calon sebagai pemimpin di kawasan masing-masing, berikutan ‘fatwa’ sebegitu rupa yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu sudah memadai.

“Wah, dialah orang politik, dialah mufti.

“Lain kali Malaysia bukan sahaja tak payah (laksanakan) pilihan raya, tak payah panggil Parlimen bersidang,” katanya menerusi akaun X (Twitter) pada Ahad.

https://twitter.com/KhaledNordin/status/1698198557801738331?s=20

Beliau mengulas satu video yang tular di media sosial pada Ahad memaparkan Muhyiddin ketika berucap dalam satu ceramah sempena PRK Parlimen Pulai di Johor, mengeluarkan ‘fatwa haram’ mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat.

Muhyiddin ketika berucap dalam kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai di Nusa Bestari, Johor Bahru malam Sabtu melarang pengundi Parlimen Pulai untuk mengundi calon PH.

Untuk itu, bekas Perdana Menteri itu mengeluarkan ‘fatwa’ haram untuk memberi satu undi kepada calon PH yang bertanding di kawasan berkenaan.

Kata Presiden Bersatu itu, cara tersebut dapat menentang kekuasaan kerajaan Pusat yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa gagal menangani isu ekonomi yang menghimpit rakyat ketika ini.

“Jangan bagi satu undi. Saya bagi hukum haram. (Nanti) Ada esok cabar saya ikut fatwa mana. Tak boleh (undi calon PH) kerana situasi yang sudah berlaku sekarang…sembilan bulan sudah berlalu. Ujian.

“Macam soal kenaikan harga. Sebab itu waktu PRK kita tunjukkan kepada (Perdana Menteri, Datuk Seri) Anwar Ibrahim bahawa kami di Pulai akan tentang habis-habis Anwar Ibrahim.

“… dan tidak akan beri satu undi kepada pihak, parti yang menentang saudara (calon PN bagi Parlimen Pulai) Zulkifli (Jaafar). boleh atau tidak?” katanya.

Kempen PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memasuki minggu kedua pada Isnin, dengan parti yang bersaing masing-masing sudah memenuhi segenap kawasan pilihan raya untuk menarik sokongan pengundi kepada calon masing-masing.

Hari mengundi bagi dua kawasan itu akan berlangsung Sabtu ini.

Author

Pilihan Editor