HomeHiburanFilem Tebus kini ditayang di Prime Video

Filem Tebus kini ditayang di Prime Video

DAMANSARA: Filem Tebus terbitan Vian Media Sdn Bhd kini disiarkan di platform penstriman ‘over the top’ (OTT) terkemuka Amerika Syarikat (AS), iaitu Prime Video, mulai 31 Ogos.

Penerbit Eksekutif Tebus, Jason Chong berkata, filem ini mempunyai keunikan yang tersendiri sehingga meninggalkan tanda tanya buat penonton.

“Suatu perkara yang tidak boleh dinafikan, kita hidup dalam dunia yang penuh konflik. Sama ada peperangan antara negara, skandal tanpa penyudah dan perebutan kuasa.

“Namun, tanpa disedari, kita juga secara peribadi berdepan dengan konflik yang ‘membunuh’ jika tidak dikendalikan dengan baik.

“Tebus akan menjadi sebuah naskhah yang mengajak kita berfikir bahawa manusia boleh berubah kerana banyak perkara sama ada ia baik atau buruk,” katanya dalam sidang media filem Tebus di GSC The Starling, pada Rabu.

Tebus memaparkan kisah pengawal keselamatan, Johan lakonan Aedy Ashraf yang menculik pewaris barangan kemas, Ana lakonan Ahirine Ahirudin untuk mendapatkan jantung di pasaran gelap bagi membantu adiknya, Jalil yang dilakonkan oleh Idan Aedan.

Akibat terdesak, Johan melakukan perbuatan jahat itu. Namun, perancangannya tidak lancar apabila bapa tiri Ana, iaitu Bakar lakonan Azhan Rani telah menipunya dengan memalsukan wang tebusan.

Tebus yang berdasarkan hasil tulisan Sky Khor, menampilkan Aedy Ashraf dan Ahirine Ahirudin sebagai tunjang utama. Filem ini juga membariskan Idan Aedan, Azhan Rani, Jay Iswazir dan Marisa Yasmin.

Author

Pilihan Editor