HomeBeritaGoogle, Boeing berhasrat kembangkan operasi di Malaysia

Google, Boeing berhasrat kembangkan operasi di Malaysia

CYBERJAYA: Empat syarikat gergasi iaitu Google, Boeing, Medtronic dan Siemens Healthineers menyatakan hasrat untuk mengembangkan operasi dan perniagaan mereka di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dinyatakan oleh syarikat tersebut kepada beliau dalam pertemuan di New York, Amerika Syarikat (AS).

“Kerajaan Perpaduan akan memudahcara serta menggalak pelaburan dalam memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau turut mengadakan perjumpaan bersama ahli ekonomi terkenal yang juga pemenang Anugerah Peringatan Nobel dalam bidang ekonomi, Profesor Joseph Stiglitz daripada Universiti Columbia.

Menurutnya, mereka bertukar-tukar pandangan terkait keperluan ekonomi negara membangun diberi peluang yang lebih saksama khususnya di dalam persekitaran ekonomi dunia yang semakin mencabar.

Anwar berkata, beliau dan Stiglitz turut berbincang mengenai langkah dan strategi yang boleh dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan membasmi kemiskinan dan dalam masa yang sama memastikan kemapanan.

“Pendidikan yang lebih menyeluruh juga perlu diberi tumpuan, demi bina jati diri dan sahsiah generasi masa hadapan. Idea perbincangan akan dimanfaat dan dicambah untuk mempertingkatkan potensi ekonomi negara,” katanya.

Perbincangan tersebut turut disertai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zamabry Kadir serta wakil agensi dari MIDA dan Matrade.

Author

Pilihan Editor