HomeBeritaPolitik'Hadi sihat...cuma jalani rawatan antibiotik, bukan mengelak dirakam keterangan'

‘Hadi sihat…cuma jalani rawatan antibiotik, bukan mengelak dirakam keterangan’

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjalani rawatan di sebuah hospital di Terengganu, Sabtu lalu menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan proses rakaman percakapan yang sepatutnya dijalankan pihak polis pada hari terbabit.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman, berkata perkara itu jelas menimbulkan kekeliruan dengan ada pihak mendakwa Abdul Hadi sengaja memberi alasan untuk mengelak daripada dirakam keterangan.

“Saya mendapat izin daripada Tuan Guru (Abdul Hadi) untuk menjelaskan kekeliruan ada mengatakan beliau mengelak dan tidak sihat. Perkara itu adalah kekeliruan yang berlaku.

“Komunikasi saya dengan pihak Bukit Aman jelas dan tidak bercanggah, kenyataan polis pun jelas dan tidak bercanggah. Memang Tuan Guru memang ada menerima rawatan pada pagi Sabtu, 2 September di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohd Syahir berkata, perkara itu menyebabkan kelewatan Abdul Hadi untuk tiba di Kuala Lumpur bagi menjalani proses rakam percakapan yang pada asalya dijadualkan berlangsung pada jam 4 petang, pada hari berkenaan.

Jelas beliau, Abdul Hadi perlu menjalani rawatan antibiotik yang mengambil masa antara tiga hingga empat jam sebelum selesai kira-kira jam 11.30 pagi dan terus bergerak ke ibu negara pada jam 12 tengah dan kelewatan itu menyebabkan tidak sempat memenuhi temu janji bersama pihak Bukit Aman.

“Tuan Guru berada dalam keadaan sihat tetapi bila pihak media dengar beliau dirawat di hospital, mungkin timbul kekeliruan bahawa beliau tidak sihat.

“Tidak timbul soal mengelak, kalau Tuan Guru tidak ada rawatan tersebut, telah selesai perkara ini (proses rakam keterangan) pada hari Sabtu, jam 4 petang sebagaimana yang pihak media tahu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkata, beliau sendiri sudah menghubungi Bukit Aman memaklumkan mengenai rawatan yang perlu dijalani Abdul Hadi pada jam 8 pagi, Sabtu lalu dan pihak polis bersetuju menetapkan tarikh baharu iaitu hari ini.

Mengenai penyebaran gambar pertemuan Ahli Parlimen Marang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad serta mesyuarat bersama Menteri Besar empat negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN), Mohd Syahir berkata, perkara itu memang sudah dijadualkan.

“Jadi yang tersebar gambar berjumpa dengan Tun M dan selepas itu ada mesyuarat dengan menteri-menteri besar empat negeri tersebut adalah mengikut jadual yang asal.

“Alhamdulillah Tuan Guru sihat dan pihak polis pun maklum mengenai keadaan (kesihatan) Tuan Guru dan jadual perjalanan beliau pada hari Sabtu lalu,” katanya.

Terdahulu, terdapat laporan mengenai seorang pemimpin PKR tertanya apakah benar Abdul Hadi uzur selepas muncul laporan Presiden PAS itu bertemu Dr Mahathir.

Ia selepas polis memaklumkan proses rakam keterangan Abdul Hadi ditangguhkan selepas dimaklumkan beliau masih uzur dan meminta proses berkenaan ditangguhkan. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor