HAMPIR 3,000 penonton membanjiri Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) bagi menyaksikan konsert sulung ‘Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur’ pada Sabtu lalu.
Konsert anjuran Allianz Malaysia Berhad dengan kerjasama JioBuddy itu nyata melakar memori buat peminat tegar Faizal Tahir, lebih-lebih lagi sudah hampir 17 tahun Faizal berkecimpung dalam industri muzik tanah air.
“Saya rasa gembira dan puas hati sebab dapat habiskan konsert Aku Faizal Tahir, sebuah konsert yang saya tak pernah terfikir akan buat.
“Setelah bertahun-tahun dipujuk oleh Jeniffer Thompson iaitu orang penting yang memujuk saya membuat konsert hari ini (Sabtu).
“Saya rasa satu konsert yang kalau mungkin sebelum ini saya rasa susah nak buat konsert tapi dengan sambutan yang saya dapat hari ini, dengan performance yang saya dapat berikan pada hari ini, saya macam ada rasa macam nak buat lagi (konsert) tapi tengok dululah macam mana,” katanya pada sidang media selepas konsert berakhir.
Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Ragaman’ itu turut memberitahu bahawa dia pernah berniat untuk bersara dari arena muzik kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.
“Nak berehat tu (sebab) lebih kepada keluarga sebenarnya. Keluarga ni main peranan yang penting kepada keputusan yang saya buat.
“Saya secara jujurnya sekejap nak bersara sekejap tak jadi, bersara ini lebih banyak kepada keluarga tapi isteri saya salah-seorang yang sangat memberi support kepada saya yang beritahu, selagi saya ada benda baik untuk diberikan kepada orang ramai, jalan ja buat apa kita nak halangkan,” kongsinya.
Sebanyak 21 lagu dipersembahkan Faizal dalam konsert Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur dan acara berjalan lancar di bawah kendalian pengarah konsert, Jennifer Thompson.
Malah, banyak elemen kejutan dan spontan diterapkan dalam konsert berkenaan seperti taburan ‘duit’ dari langit WTCKL semasa persembahan lagu terbaharu Faizal iaitu ‘OK’.
Suasana lebih meriah apabila penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut hadir memberi sokongan kepada Faizal dan sudi berduet secara spontan ketika sesi Jamming mendendangkan lagu ‘Dirgahayu’.
Turut hadir, selebriti versatil, Alif Satar yang juga secara spontan bersama-sama Faizal menyanyikan lagu ‘Gemuruh’ dalam sesi Jamming.
Konsert Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur turut mendapat sokongan kolaborasi dari Altus Prohouse, Faithful Music, JioSpace, World Trade Centre, Levep Up dan YGG.
@mvrasmi Rugi siapa tak pergi Konsert #akufaizaltahir ! @Siti Nurhaliza pun ada menyanyi sekali. Korang tengok sampai habis tau. #akufaizaltahir #akufaizaltahirliveinkualalumpur #faizaltahir #sitinurhaliza #dirgahayu #mediavariasi #fyp