CYBERJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi perempuan yang ditemukan di sebuah kedai ayam di Bukit Jabor, Chukai, Kemaman pada Julai lalu.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Mohd. Fadzli Ismail berkata, bayi yang masih bertali pusat itu ditemukan pekerja premis tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum membuat laporan polis.
“Bayi perempuan yang berusia dua bulan ini kini ditempatkan dalam jagaan JKM sejak 12 Julai lalu sehingga kini selepas mendapat perintah bawah seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 daripada Mahkamah Majistret Kemaman,” katanya seperti dilapor Utusan pada Isnin.
Julai lalu, Utusan melaporkan seorang peniaga ayam terkejut apabila menemukan seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditinggalkan di atas lantai kedainya di kawasan Jabur Kubur, Jalan Air Putih, di sini.
Mohd. Yusrizal Azlan, 27, berkata, dia menemukan bayi tanpa pakaian tersebut dalam kesejukan dan menggigil ketika mahu mula berniaga pada pukul 7.50 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, bayi yang dianggarkan seberat 3.2 kilogram itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh tiga atau empat hari lalu.
Susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang ibu kandung atau waris kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Kemaman, Siti Fatimah Mohamad Fadzil di talian 09-8591686.