LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas ditetak rakan kepada bapa tiri di halaman rumahnya di Perumahan Pekerja Felda Sahabat 30 pagi, semalam.
Kejadian yang berlaku pada pukul 7.30 pagi itu membabitkan mangsa kanak-kanak lelaki warga asing berusia 11 tahun, ditinggalkan oleh kedua ibu bapanya bersama suspek kerana keluar bekerja sebagai Pekerja Am di ladang kelapa sawit berkenaan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu untuk menjalankan siasatan.
“Siasatan di tempat kejadian menemui mayat kanak-kanak lelaki terbabit dalam keadaan berlumuran darah.
“Terdapat kesan tetakan oleh objek tajam dipercayai parang pada bahagian belakang kepala, hadapan dan belakang leher serta putus tapak tangan kiri mangsa.
“Polis kini sedang giat mengesan suspek iaitu seorang lelaki warga asing yang dikenali sebagai Paulus Poka Lolo berusia 33 tahun dan bekerja sebagai Pekerja Am di ladang kelapa sawit sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Dr Rohan, siasatan mendapati suspek merupakan rakan kepada bapa tiri mangsa yang melarikan diri selepas kejadian serta motif masih belum dikenal pasti.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati,” maklumnya.