HomeGlobalTurun 11.1kg dalam masa 2 jam 30 minit?

Turun 11.1kg dalam masa 2 jam 30 minit?

MOSCOW: Seorang lelaki berusia 69 tahun dari Republik Dagestan mendakwa berjaya mencipta rekod dunia baharu selepas menurunkan berat badannya dengan kadar pantas.

Warga emas itu didakwa kehilangan berat badan lebih 11 kilogram (kg) semasa satu perlumbaan yang berlangsung selama dua jam 30 minit.

Lapor Oddity Central, Bahama Aigubov sebelum ini pernah memahat namanya dalam Russian Book of Records pada 2019 selepas menurunkan berat badan sebanyak 9.3kg selepas mengambil bahagian perlumbaan selama lima jam.

Namun, Aigubov didakwa berjaya memecahkan rekod sendiri dengan kehilangan berat badan sebanyak 11.1kg dalam masa dua jam 30 minit semasa menyertai perlumbaan sejauh 21 kilometer (km) di Makhachkala.

Dilaporkan, cabaran Aigubov tidak mendapat pengiktirafan Rekod Dunia Guinness memandangkan agensi itu tidak mengiktiraf pencapaian dalam penurunan berat badan terpantas supaya tidak menggalakkan orang ramai melibatkan diri dalam eksperimen berbahaya.

Namun, warga emas itu mendakwa berjaya menjadi individu paling pantas menurunkan berat badan di dunia, setakat ini.

“Sepanjang tempoh lebih tiga tahun ini, ramai cuba mengalahkan rekod saya, baik warga Amerika Syarikat (AS) mahupun Russia. Namun, mereka tidak dapat melakukan demikian.

“Setakat saya ketahui, sekurang-kurangnya 25 orang sudah mencubanya termasuk anggota tentera dan lebih separuh dimasukkan ke hospital selepas melakukan aksi tersebut,” katanya.

Aigubov merupakan juara dunia dalam judo, sambo, gusti Yunani-Rom dan gaya bebas.

Atlet itu dikatakan mempunyai banyak pengalaman dalam mengurangkan berat badan untuk perlawanan.

“Ketika zaman muda, saya mampu menurunkan berat badan sehingga 17kg untuk pertarungan tetapi ia menjadi semakin sukar sejak itu.

“Bagaimanapun, saya berjaya menewaskan pesaing lain dari segi penurunan berat badan,” katanya. – Utusan

Authors

Pilihan Editor