SERDANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan had pembelian maksimum 100kg beras putih tempatan (BPT) bagi setiap individu berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, langkah itu dibuat bagi menstabilkan bekalan tersebut.
“Kita dapati ada peniaga membeli beras putih dalam satu masa (sehingga) 500 hingga 700kg.
“(Jadi) sebab itu kita buat sekatan (hadkan) bermula hari ini dengan benarkan (beli) 10 bag beras (100kg) sahaja,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Sementara itu, ditanya tempoh ditetapkan bagi had tersebut, Azman menjelaskan, ia akan dibuat sehingga bekalan kembali stabil.
“(Kita akan laksana) sampai bila-bila sehingga keadaan kembali reda,” katanya.
Sementara itu, Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu nenegaskan, harga beras putih tempatan masih terkawal dan mencukupi, meskipun negara ketika ini berdepan kenaikan harga beras putih import.
Jelasnya, harga bagi beras putih tempatan masih kekal RM26 sekampit atau RM2.60 sekilogram (kg).
“Insya-Allah beras tempatan terkawal dan mencukupi,” katanya.