KOREA Utara melancarkan kapal selam serangan nuklear taktikal pertamanya yang mampu melakukan serangan nuklear bawah air, kata media kerajaannya pada Jumaat.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menghadiri majlis pelancaran kapal selam yang baru dibina itu menjelang ulang tahun penubuhan ke-75 negara tersebut pada Sabtu, kata Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Majlis itu memaklumkan permulaan lembaran baharu untuk memperkukuh angkatan tentera laut dan menjelaskan matlamat kerajaan untuk memperkukuhkan lagi pertahanan nuklear negara.
Lapor Korea JoongAng Daily, kapal selam No. 841 itu dinamakan Hero Kim Kun Ok sempena nama pegawai pemerintah tentera laut Korea Utara terdahulu dan akan ditempatkan di bahagian kapal selam pengkalan tentera laut Korea Selatan.
Kim berkata, kapal selam itu akan melaksanakan misi tempurnya sebagai salah satu pertahanan serangan bawah air Korea Utara.
Beliau menyeru untuk memperluaskan industri pembinaan kapal tentera laut dan menekankan pelan strategik dan taktikal, bagi meningkatkan kemodenan kuasa bawah air dengan senjata nuklear pada masa depan.
Menerusi perkongsian gambar KCNA, kapal selam itu dilengkapi dengan enam tiub pelancar kecil dan empat tiub pelancar besar untuk peluru berpandu balistik (SLBM).
Sementara itu, pemerhati tentera percaya, kapal selam tersebut adalah versi naik taraf kapal selam sebelum ini yang tidak mampu mambawa pelancar SLBM.
Kapal selam baharu itu mungkin mampu melancarkan Haeil, dron serangan bawah air berkeupayaan nuklear pertamanya serta SLMB yang berkebolehan membawa kepala peledak nuklear.
Kim berkata, pembinaan kapal selam selama beberapa dekad itu melambangkan satu pencerobohan yang merujuk kepada Amerika Syarikat (AS).
Katanya, Korea Utara juga mempunyai keupayaan untuk memberi kegerunan kepada musuhnya.