HomeBeritaLafaz taklik cerai isteri talak 3 jika Anwar masih PM tidak boleh...

Lafaz taklik cerai isteri talak 3 jika Anwar masih PM tidak boleh ditarik balik – Menteri Agama

CYBERJAYA:  Lafaz taklik seorang individu yang akan menceraikan isterinya dengan talak tiga sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan hingga Ogos tidak boleh ditarik balik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, seorang isteri tidak boleh dijadikan sebagai objek pertukaran dalam sesuatu taklik.

“Dalam konteks ini bila mana taklik itu dikaitkan dengan perceraian talak tiga kepada seorang isteri ia satu perkara yang amat tidak bertanggungjawab sebab seorang isteri tidak boleh dijadikan objek pertukaran jadi sebab kepada sesuatu taklik,” katanya menerusi rakaman video di Facebooknya, pada Jumaat.

Jelas beliau lagi, di bawah peruntukan undang-undang telah menggariskan bahawa mana-mana permohonan untuk mengesahkan taklik perlu difailkan di mahkamah syariah kerana ia diperuntukkan dalam enakmen semua negeri.

“Jadi dinasihatkan kepada isteri ataupun suami yang mana taklik tu telah dilafazkan untuk memfailkan permohonan di mahkamah bagi mengesahkan perceraian taklik tersebut.

“Hanya hakim syarie dimana pihak-pihak bermastautin sahaja yang boleh menentukan sama ada taklik tersebut jatuh ataupun tidak,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan para suami agar bertanggungjawab dengan lafaz taklik yang dibuat dan jangan sesekali melibatkan maruah seorang isteri.

“Jadi saya nasihatkan yang pertama seorang suami perlu bertanggungjawab bila mana lafazkan taklik jangan libatkan maruah seorang isteri.

“Yang kedua kalau nak mengesahkan sesuatu lafaz sama ada jatuh ataupun tidak jangan rujuk kepada pihak yang ketiga yang hanya boleh menentukan sama ada lafaz itu jatuh ataupun tidak adalah hakim mahkamah syariah di mana pasangan tadi tu bermastautin,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu hantaran daripada seorang individu yang telah membuat kenyataan untuk menceraikan isterinya dengan talak tiga sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan perpaduan masih menerajui negara sehingga bulan Ogos 2023.

“Wallahi, saya akan ceraikan bini saya dengan lafaz talak tiga jika PMX dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan sampai bulan lapan, 2023,” tulisnya dalam sebuah hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, ada pihak mendakwa akaun Facebook individu terbabit telah digodam.

Malah, hasil carian di Facebook mendapati akaun tersebut sudah tiada.

Author

Pilihan Editor