HomeGlobalLelaki hidap autisme mati lemas ditolak kru feri

Lelaki hidap autisme mati lemas ditolak kru feri

 

SEORANG lelaki yang menghidap autisme lemas di perairan Mediterranean selepas ditolak oleh kru kapal ketika cuba menaiki feri pada saat-saat akhir.

Kejadian yang berlaku di Greece itu dilaporkan berlaku di Pelabuhan Piraeus, berhampiran Athens baru-baru ini, lapor Anadolu Agency.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kelihatan  seorang lelaki berlari menuruni tanjakan feri Blue Horizon, ketika pengangkutan itu bersiap sedia untuk meninggalkan pelabuhan.

Namun, dua anak kapal menghalang lelaki berusia 36 tahun itu sehingga tanjakan berundur, menyebabkan dia jatuh ke dalam laut.

Memilukan apabila kedua anak kapal tidak melakukan apa-apa untuk membantu lelaki berkenaan sebaliknya meneruskan perjalanan ke Pulau Crete, sebelum diarah pulang ke Piraeus oleh pihak berkuasa pelabuhan.

Video yang dirakam oleh penumpang feri dan saksi kejadian di darat menunjukkan pengawal pantai akhirnya tiba untuk menarik keluar lelaki itu yang sudah kelihatan tidak bermaya sebelum disahkan meninggal dunia.

Insiden berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis.

“Insiden memalukan semalam tidak menunjukkan sifat rakyat negara ini yang kita mahukan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Marin, Miltiadis Varvitsiotis turut simpati atas kejadian yang berlaku dan menyatakan tingkah laku anak kapal itu adalah satu penghinaan kepada anggota kelasi kerana mangsa sudah membeli tiket feri dan bergegas kembali semula selepas turun sebentar atas alasan yang tidak diketahui.

Katanya, siasatan berhubung kematian lelaki itu sedang dijalankan dengan seorang pendakwa raya sudah memfailkan tuduhan jenayah terhadap seorang kapten feri dan tiga anak kapal.

“Seorang anak kapal didakwa dengan tuduhan cubaan membunuh dan dua lagi bersubahat manakala kapten dituduh melakukan beberapa pelanggaran peraturan berkaitan dengan navigasi,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor