HomeMV+Eksklusif'Main langgar je, pendatang asing jahil undang-undang negara'

‘Main langgar je, pendatang asing jahil undang-undang negara’

CYBERJAYA: Masalah sosial dan kes jenayah dalam kalangan etnik Rohingya di Malaysia sememangnya mencetuskan kebimbangan tentang keselamatan dan keamanan rakyat negara ini.

Tampil mengulas, Prof Dr Zaid Ahmad menyifatkan bahawa pendatang asing termasuk etnik minoriti Myanmar itu sebagai jahil terhadap undang-undang negara.

Zaid Ahmad -Foto: Harian Metro

Profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, etnik tersebut tidak berasa takut akan peraturan negara ini berbanding rakyat tempatan.

“Mereka mungkin tak arif tentang peraturan dan sistem nilai di negara ini. Jadi, kita perlu memberi perhatian terhadap perkara itu sebelum menjadi lebih teruk.

“Masalah ketika ini adalah saluran komunikasi yang mana mereka tidak membaca akhbar, tidak follow media sosial kita.

“Kita bagi amaran kepada mereka melalui cara apa? Tampal notis di jalan pun mereka tak baca. Maknanya, mereka jahil peraturan dan undang-undang sebab main langgar je, ” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Jelas Zaid Ahmad, etnik tersebut akan tinggal beramai-beramai di sesebuah lokasi menyebabkan rakyat tempatan berasa tidak selesa untuk masuk ke kawasan terbabit.

Beliau berkata, perkara itu perlu dipantau pihak berkuasa seperti polis dan imigresen, dengan memastikan tiada tempat yang diduduki etnik tersebut tidak boleh diakses dan tiada aktiviti tersembunyi.

Etnik Rohingya didakwa akan tinggal beramai-beramai di sesuatu lokasi, menyebabkan rakyat tempatan berasa tidak selesa untuk masuk ke kawasan terbabit. -Foto: Gambar hiasan/FMT

Katanya, pihak berkuasa perlu turun ke lapangan dan melakukan operasi dengan lebih kerap untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

“Jika ada sahaja tanda-tanda nak berlaku ada koloni dan sebagainya, pihak berkuasa perlu ambil tindakan awal untuk mencegah perkara itu supaya tidak berlaku.

“Apabila mereka sudah tubuhkan kumpulan dan kongsi gelap, semakin sukar untuk dikawal. Jadi, sebelum sesuatu perkara menjadi serius, kita perlu kesan lebih awal untuk mencegahnya.

Curiga terhadap warga asing

Rakyat tempatan disarankan untuk tidak mudah terpedaya dengan pendatang asing. -Foto: Gambar hiasan/Astro Awani

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa, masyarakat negara ini harus memiliki sikap curiga dan tidak mudah percaya terhadap pendatang asing.

Beliau berkata, rakyat tempatan kebanyakannya akan berfikir masak-masak sebelum melakukan sesuatu tindakan tidak wajar di negara ini, berikutan komitmen keluarga dan perkara lebih penting.

“Tetapi, pendatang asing sebatang kara dan tiada pertimbangan berfikir panjang untuk melakukan sesuatu. Mereka kebanyakannya buat sesuatu mengikut kehendak masing-masing.

“Jadi, rakyat tempatan jangan mudah sangat tergoda dan terpedaya dengan mereka. Gadis-gadis kita adakalanya mudah sangat tertambat hati dengan mereka,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa aktiviti jenayah dilakukan oleh etnik Rohingya di negara ini, sekali gus mencetuskan perasaan tidak puas hati tentang kehadiran mereka.

Ia antara lain pada Khamis, seorang lelaki berusia 27 tahun dan remaja berumur 14 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol, melakukan serangan seksual serta mencabul seorang pelajar Tingkatan 3 di dalam sebuah kereta.

Perbuatan tersebut dilakukan di kawasan lapang di Pantai Klebang, Melaka pada 14 September lalu.

November tahun lalu, empat etnik Rohingya yang disyaki melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai ditahan dalam beberapa serbuan.

Suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan serta berusia lingkungan 14 hingga 27 tahun.

Bukan itu sahaja, April tahun lalu, beberapa tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Pulau Pinang didakwa memasuki kawasan sebuah taman perumahan dipercayai mencari pakaian.

Penduduk mendakwa, baki tahanan terbabit juga dipercayai kelaparan selepas mereka bersembunyi dalam kawasan hutan berdekatan.

Author

Pilihan Editor