HomeBerita'Mesti sokong MU malam tadi' - Dr Zulkifli sempat bahan ketika lepaskan...

‘Mesti sokong MU malam tadi’ – Dr Zulkifli sempat bahan ketika lepaskan kambing di tiang gol

CYBERJAYA: Tindakan sesetengah penyokong yang melakukan ejekan atau membahan kekalahan pasukan bola sepak dalam sesuatu perlawanan, ibarat menjadi lumrah dalam dunia sukan tersebut.

Seperti biasa, penyokong pasukan yang tewas akan dianggap ‘koyak’ atau tidak cukup kental sekiranya mudah melenting apabila dibahan oleh penyokong pasukan lawan.

Tidak ketinggalan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sempat berseloroh mengenai kekalahan Manchester United (MU) selepas dibedil Arsenal dalam perlawanan pada Ahad.

Declan Rice (tengah) meraikan gol yang dilakukan ketika perlawanan menentang United. -Foto: Agensi

Perkara itu dikongsikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika beliau sedang menyelamatkan seekor kambing, yang terjerat pada jaring gol di sebuah padang.

“Tolong keluarkan kambing yang tersekat di jaring gol. Kebetulan saya lalu di sini.

“Guane gamok mung bulih sangkut ni? (Bagaimana boleh tersangkut ni?). Mesti sokong MU malam tadi,” tulisnya di laman X.

Pada Ahad, Arsenal mempamerkan kebangkitan dramatik apabila meraih kemenangan 3-1 ke atas MU pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates.

United mencipta kejutan apabila meraih gol pembukaan hasil ledakan Marcus Rashford menerusi gerakan serangan balas pantas pada minit-26, selepas menerima hantaran Christian Eriksen.

Namun, kegembiraan United tidak bertahan lama apabila kapten Arsenal, Martin Odergaard berjaya menyamakan kedudukan apabila menyudahkan umpanan Gabriel Martinelli berselang seminit kemudian.

Gol kemenangan yang ditunggu akhirnya tiba pada masa kecederaan selepas Declan Rice meledak gol hasil daripada sepakan penjuru untuk meletakkan keputusan 2-1 buat Arsenal.

Kemenangan Arsenal akhirnya terjamin apabila penyerang gantian, Gabriel Jesus meledak gol ketiga sebelum wisel penamat ditiupkan dengan kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Author

Pilihan Editor