HomeBeritaPolitikMUDA tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan

MUDA tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan

CYBERJAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sah menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pemberitahuan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat yang diutuskan pada Ahad.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, keputusan menarik sokongan dibuat setelah berbincang dengan kepimpinan parti dan mengakui ia keputusan yang sukar dilaksanakan.

“Perjalanan ke hadapan akan panjang dan bersendirian, namun berbaloi kerana Malaysia sentiasa menjadi keutamaan.

“Tindakan kerajaan hari ini menggugurkan 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) menyukarkan MUDA untuk kekal dalam kerajaan,” katanya menerusi video yang dimuat naik dalam Facebook rasminya pada Ahad.

Tambah Syed Saddiq, beliau tidak akan membenarkan Malaysia menormalkan rasuah dan kekal berprinsip.

Jelasnya selaku rakyat Malaysia, beliau mahu melihat negara ini membangun dengan menegakkan perundangan dan meraikan kepelbagaian.

“MUDA dengan ini ingin fokus sebagai kuasa ketiga di blok Pembangkang supaya menjadi suara rakyat, mainkan peranan semak dan imbang.

“Muda akan tetap menyokong segala usaha reformasi institusi dan perihal rakyat.

“Ini bukan kali pertama saya membuat keputusan berdasarkan prinsip (kerana) pada 2022 semasa Langkah Sheraton berlaku, saya ditawarkan jawatan menteri, pengerusi GLC, saya tolak (walaupun) diugut, saya lawan kerana mahu membina Malaysia yang bermaruah dan berintegriti,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor