HomeBeritaNahas Elmina: Tiada bukti prestasi kru penerbangan terjejas

Nahas Elmina: Tiada bukti prestasi kru penerbangan terjejas

CYBERJAYA: Laporan awal berhubung nahas pesawat ringan di Elmina, Selangor menyebut bahawa tiada bukti ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan.

Menurut laporan itu yang dikeluarkan pada Jumaat, pesawat berkenaan mempunyai Sijil Kelayakan Udara yang sah dan telah dikekalkan dengan mematuhi peraturan.

Antara serpihan pesawat tersebut yang terhempas di Elmina.

Selain itu, insiden berlaku pada waktu siang dengan penglihatan yang jelas dan sesuai seperti yang dilaporkan dalam keadaan meteorologi atau kaji cuaca.

“PIC (person in command) telah dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada,” kata laporan itu.

Laporan sama turut menyatakan bahawa ia tidak dapat diselamatkan, berikutan magnitud daya nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan berlaku.

Bagaimana pun punca dan faktor pesawat itu terhempas akan dikeluarkan dalam laporan akhir.

Anggota bomba mengutip serpihan pesawat yang terhempas pada Ogos.

Pada 17 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan insiden pesawat ringan jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina dan mengorbankan 10 individu, termasuk pemandu kereta dan penunggang motosikal .

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu disahkan maut di samping dua juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian itu, yang berlaku pada jam 2.48 petang.

Pesawat itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam.

 

Author

Pilihan Editor