KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh menamatkan zaman duda apabila selamat bernikah bersama pilihan hatinya, Fatin Athira Mustapa pada Sabtu.
Khabar gembira itu dikongsi Noh menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya.
“Athira dan Noh, 23 September 2023,” tulisnya ringkas.
Hantaran sama turut disertakan dengan foto merakamkan wajah Noh dan isterinya tersenyum manis, sambil berpandangan antara satu sama lain.
Kali ini, pasangan tersebut mengenakan busana putih krim ketika duduk di atas pelamin minimalis.
Pemuzik kelahiran Sarawak dan pasangannya yang merupakan seorang peguam itu melangsungkan pertunangan pada 7 Mei lalu.
Selain itu, kad undangan perkahwinan mereka mula tersebar sejak awal Ogos lalu.
Untuk rekod, Noh pernah mendirikan rumah tangga dengan aktivis kemanusiaan, Mizz Nina pada 2 Julai 2011, namun bercerai pada Ogos tahun lalu.