HomeBeritaPolitikNekad bertanding calon Bebas, UMNO pecat keahlian Haslihelmy

Nekad bertanding calon Bebas, UMNO pecat keahlian Haslihelmy

BENTONG: Selepas memutuskan untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Haslihelmy DM Zulhasli bukan lagi ahli UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan perkara itu berkata, keahlian Haslihelmy yang juga Pemuda UMNO Bahagian Bentong dipecat serta-merta berkuat kuasa pada Sabtu.

“Walaupun beliau menjadi calon Bebas, secara automatik mulai hari ini (Sabtu) keahlian beliau gugur,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian di Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Haslihelmy yang juga ahli UMNO Kampung Sum Sum, yang nekad bertanding atas tiket Bebas pada PRK DUN Pelangai yang dijadual berlangsung 7 Oktober ini.

Terdahulu, Haslihelmy dilihat tiba di pusat penamaan calon sekitar jam 9.05 pagi.

Sebelum ini, media melaporkan, Haslihelmy menyatakan sedia dipecat daripada UMNO dan menegaskan, keputusan bertanding diambil bagi memastikan suara rakyat terutama generasi muda di Pelangai didengari.

Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, 50 tahun, yang juga anak jati Felda Chemomoi, bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) meletakkan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Kasim Samat, 63 tahun, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Kasim, bagi memberikan saingan pada PRK berkenaan.

Proses menghantar borang penamaan calon berakhir pada jam 10 pagi.

Author

Pilihan Editor