BARU-BARU ini, tular di media sosial Indonesia mengenai seorang pemandu teksi motosikal atau dikenali ojek, menerima pesanan daripada pelanggannya.
Menariknya, pemuda itu perlu menaiki pesawat demi mendapatkan pesanan makanan khas pelanggannya, lapor portal OkeZone.
Pemuda berkenaan menaiki pesawat dari Medan ke Yogyakarta, untuk membeli Bakpia Pathok, iaitu sejenis manisan terkenal di kepulauan Jawa itu.
Menerusi video yang dikongsi menerusi laman X, @penyuka_ombak, kelihatan seorang penumpang merakam dirinya duduk di sebelah pemandu teksi motosikal itu.
Video berkenaan turut memaparkan perbualan antara petugas yang memakai seragam hijau dengan pramugari.
Pramugari itu bertanya kepada pemandu mengenai destinasi yang dituju kerana mereka tidak percaya sehingga perlu mengesahkannya semula dengan menyemak semula pas penerbangannya.
“Maaf encik, saya cuma nak tahu encik,” kata salah seorang pramugari.
“Tengok saja boarding pass,” kata pemandu teksi motosikal itu sambil menyerahkan pas penerbangannya kepada pramugari.
Pramugari tersebut mempercayainya meskipun terkejut, sebelum memulangkan semula pas penerbangan kepada penumpang terbabit.