HomeBeritaSempat mengusik, Raja Permaisuri Agong minta pegawai imigresen cap pasport

Sempat mengusik, Raja Permaisuri Agong minta pegawai imigresen cap pasport

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meneruskan jelajah Kembara Kenali Borneo, dengan berangkat tiba di Pos Kawalan Imigresen ICQS Sungai Tujuh, Miri, Sarawak dari Brunei Darussalam pada jam 12.10 tengah hari Sabtu.

Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari ketujuh itu juga terus diserikan dengan kemesraan pasangan diraja, yang dilihat melalui proses imigresen sebelum meneruskan perjalanan ke Sarawak.

Dari Pos Kawalan Imigresen itu, Seri Paduka Baginda berdua dan rombongan Kembara Kenali Borneo meneruskan pengembaraan ke Bandar Raya Miri.

Menerusi hantaran di laman Instagram rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua dilihat berkenan menyerahkan pasport baginda berdua kepada seorang pegawai imigresen sambil berseloroh memohon untuk dicap.

Rata-rata komen yang dikongsikan oleh warga net teruja dengan penampilan Seri Paduka berdua dan mendoakan kesejahteraan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raya Permaisuri Agong.

Tulis azlankuantan: “Daulat Tuanku dirgahayu semoga dipanjang umur diberikan kesihatan yang baik. Amin.”

Tambah norhayatipuad: “Seronok tengok Tuanku berdua ni comel, pandai melawak & sporting habis. Daulat Tuanku dan Raja Permaisuri.”

Ujar i.norayazid: “Very humble person.Daulat tuanku.Belum pernah jumpa Agong dan Permaisuri yang sangat mesra dan ramah dengan rakyat.”

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan akan berakhir di Telok Melano, Sarawak adalah program penjelajahan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Author

Pilihan Editor