MESKIPUN tersenarai di mode ‘Trending Top 10’, siri terbaharu Netflix, One Piece Live Action (OPLA) masih menerima kritikan dan mengecewakan sebilangan netizen.
Siri berkenaan yang diadaptasi daripada sebuah manga (komik Jepun) One Piece, hasil karya Eiichiro Oda, disifatkan tersasar daripada ekspektasi peminat manga dan anime itu.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook di grup Movie Addict MY, Arizu berkongsi ulasannya mengenai siri OPLA yang mempunyai 8 episod.
Katanya, siri OPLA itu sesuai ditonton oleh mereka yang meminati filem berkisarkan dunia lanun.
“Siapa yang suka tengok filem Pirates Of Carribean atau filem-filem lanun, korang boleh la layan siri One Piece Live Action ni even kau bukan peminat One Piece atau tak layan anime One Piece sekalipun.. sebab pada pemerhatian aku, 60 peratus jalan ceritanya tak sama macam dalam Anime.
“Kalau dalam anime, One Piece boleh dilayan untuk kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa tapi, untuk siri Live Action ni pulak, One Piece siri Netflix tak sesuai untuk tontonan kanak-kanak, dan mungkin sesuai untuk remaja 16+ ke atas dan sesuai untuk orang dewasa.. sebab episod pertama ada babak pembunuhan dan scene bogel,” tulisnya.
Dalam pada itu, Arizu turut menegaskan pandangannya bahawa siri OPLA dengan versi anime amat berbeza dan seolah-olah dua dunia yang berbeza.
“Pada pemerhatian dan pendapat aku, anime dan Live Action One Piece ni adalah dua dunia yang berbeza.. ibarat macam universe yang lain.
“Kalau di anime, kita akan tergelak dengan kerenah Luffy, Zoro, dan kawannya buat benda bodoh dan kelakar tapi, untuk Live Action pula Luffy dan Zoro nampak agak serius, dan Zoro jugak nampak agak kejam. So totally wataknya tak sama macam dalam anime,” ulasnya.
Menjengah di ruangan komen, pelbagai reaksi dan pandangan diulas netizen berhubung siri OPLA.
Ada sebilangan yang menzahirkan rasa kecewa akan siri itu kerana tidak mengikuti kriteria sama seakan siri anime yang ditonton mereka.
“Baru tengok 10 minit semalam…terus pause…not ready yet sebab memang follow manga dengan anime dari zaman kecik…first 10 minit dah memang lain…sangat lain. So tunggu laa bila datang mood baru nak tengok nanti,” tulis seorang peminat anime.
“Aku tengok macam tak sampai ke jiwa lah jalan cerita dia.. tak macam Pirate Carabian punya vibe.. macam terpegun gitu.. apa yang aku rasa macam… cerita sekadar cerita saja mm,” luah seorang lagi netizen.
Bagaimanapun, masih ramai yang berpandangan siri OPLA itu menarik dan berbaloi ditonton meskipun ia sedikit berbeza dengan siri versi anime dan manga.
“Bagi aku, tak banyak sangat pun tukar. Ada la sikit-sikit tukar. Tapi flow & adventure Luffy tu tetap sama mcm dalam manga. Tak sama macam anime. Yang kaki layan anime tapi tak baca manga mesti dorang akan cakap byk giler tak sama,” komen netizen.
“Mesti ada skip juga. Takkan nak follow 100% anime punya storyline dalam tempoh 8 eps je dekat Netflix tu. Nanti jadi kelam kabut pulak storyline series ni,” ujar seorang lagi penonton OPLA.
One Piece mengisahkan tentang seorang lelaki muda bernama Luffy yang taksub menjadi lanun dan nekad berusaha mencari harta karun dikenali ‘One Piece’ demi bergelar seorang raja lanun. Meskipun Luffy menggelarkan dirinya lanun, tindak-tanduk yang dilakukannya bukanlah seperti lanun kejam kerana meskipun mempunyai kuasa, Luffy masih kekal mencari solusi untuk berlawan tanpa menggunakan kekerasan melainkan keadaan terdesak.
Adakah anda sudah menonton One Piece Live Action di Netflix? Jika belum, selamat menonton!