HomeBerita'Ucapan sulung Anwar zahir pendirian tegas Malaysia, tarik perhatian dunia'

‘Ucapan sulung Anwar zahir pendirian tegas Malaysia, tarik perhatian dunia’

KUALA LUMPUR: Ucapan sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim di pentas Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam menarik perhatian dunia apabila membangkitkan pelbagai isu dianggap sensitif bagi negara tertentu, di samping menyentuh perkara teras yang menjadi kebimbangan masyarakat dunia.

Justeru itu, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar, merumuskan ucapan Perdana Menteri di pentas utama dunia itu sebagai amat baik dan berkesan.

“Beliau menyentuh semua isu-isu penting yang menjadi persoalan antarabangsa seperti isu multipolar, kerjasama, berhentikan peperangan supaya semuanya boleh duduk semeja, tidak kira negara besar, kecil, sederhana, semua mempunyai kedudukan sama rata.

“Ini adalah inti pati dalam membina masyarakat antarabangsa yang mempunyai kesepakatan untuk membina dunia lebih baik. Bagi saya ini ucapan amat baik dan berkesan,” katanya dipetik ketika menjadi panel pada satu program televisyen malam tadi.

Beliau berkata, Anwar yang memimpin pentadbiran Malaysia sejak November lalu turut menzahirkan ketegasannya seperti mana pemimpin negara terdahulu terhadap isu Palestin selain hal membangunkan semula Afghanistan, yang dianggap penting untuk diketengahkan.

“Isu Islamofobia disentuh dengan baik. Ada isu Palestin yang di cakap dengan kuat (tegas) dan ada isu paling kukuh sekali iaitu Afghanistan pun disentuh sekali. Perkara-perkara yang sensitif tetapi perlu, jadi menunjukkan pendirian Malaysia amat jelas dalam isu-isu penting ini.

“Beliau juga menyentuh berkenaan kesaksamaan, keadilan, ehsan. Ia perkara cocok yang sesuai dengan pembawaan Malaysia Madani ini. Itu yang dia cuba untuk beri keyakinan kepada masyarakat antarabangsa. Jelas untuk diterima dan nampak ada penerimaan,” katanya.

Selepas ini, kata Syed Hamid, masyarakat dunia akan melihat langkah seterusnya Malaysia dalam mendepani isu-isu yang melingkari dunia ketika ini.

“Lepas ini kita mahu lihat pelaksanaannya. Garis panduan, arah mana kita mahu pergi , pemikiran strategiknya, memahami geopolitik dan geostrategiknya, keadaan geostrategik dunia dan rantau kita, masalah perubahan iklim, tiada satu pun yang tak disentuh,” katanya.

Sementara itu, pakar undang-undang maritim antarabangsa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, pula menjelaskan biarpun PBB sudah berdekad lama menjadi pertubuhan yang membawa keamanan di dunia, masih lagi ada ketidakadilan yang perlu diperbetulkan.

“Malaysia dan negara-negara berkecuali boleh menjadi pemimpin dalam membawa suara itu. Perdana Menteri boleh terus membawa suara Malaysia ke peringkat antarabangsa mengenai isu ini.

“Hegemoni kuasa-kuasa besar perlu diseimbangkan agar keadilan kepada semua pihak dapat dicapai dan PBB dapat bertindak sebagai pertubuhan yang terus berupaya membawa keamanan sejagat,” katanya.

Di awal Kenyataan Negara Anwar malam tadi, beliau tegas mengkritik kuasa besar dunia yang dilihat lebih mengejar cita-cita mendapatkan status antarabangsa lebih tinggi sehingga mengetepikan fungsi PBB.

“Hari ini, kita dapati kebanyakan kuasa besar dan mereka yang mengejar status antarabangsa yang lebih hebat mula tidak mengendahkan fungsi PBB demi platform yang lebih kecil, kononnya cara itu lebih berkesan.

“Kuasa-kuasa besar ini seharusnya terus mempertahan kepentingan hubungan pelbagai hala (multilaterialism), sebaliknya apa yang berlaku ketika ini, kita dapati munculnya kelompok kecil negara (minilateralism) yang menyebabkan berlakunya perpecahan dalam percaturan kuasa,” kata Anwar. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor