HomeGlobalUndang-undang baharu lindungi guru daripada dibuang kerja

Undang-undang baharu lindungi guru daripada dibuang kerja

KESELAMATAN guru sekolah di Korea Selatan semakin terjamin apabila negara itu meluluskan undang-undang baharu, yang melindungi mereka daripada menerima aduan ibu bapa sehingga berisiko dibuang pekerjaan.

Terdahulu, semua guru di negara itu mengadakan protes selama sembilan minggu bagi menuntut lebih banyak hak, terutama ketika berada di dalam bilik darjah.

Kebanyakannya mendakwa sering diganggu oleh ibu bapa yang adakalanya berniat jahat melaporkan anak mereka didera, dengan niat mahu guru terbabit dibuang kerja.

Lapor BBC News, terdapat ibu bapa yang mengeksploitasi undang-undang kebajikan kanak-kanak yang diluluskan pada 2014 – yang menetapkan guru dituduh mendera pelajar akan digantung secara automatik.

Di bawah undang-undang baharu dikenali Rang Undang-undang Perlindungan Hak Guru itu, golongan pendidik tidak akan dikenakan tindakan buang kerja secara automatik selepas dituduh mendera kanak-kanak.

Tetapi pihak yang menuduh perlu menampilkan laporan penderaan, siasatan dan bukti terlebih dahulu.

Malah, sokongan kewangan juga akan disediakan kepada guru yang berdepan tindakan undang-undang, selain guru besar juga diberi hak dan peluang melindungi kakitangan mereka.

Bantahan itu tercetus apabila seorang seorang guru sebuah sekolah rendah bertindak membunuh diri selepas menerima aduan daripada ibu bapa.

Guru berusia 23 tahun itu mendakwa, budaya aduan berniat jahat berkenaan menyebabkan dirinya gagal menjalankan tanggungjawab atau mendisiplinkan pelajar mereka.

Sementara itu, Kesatuan Persekutuan Guru Korea Selatan menyambut baik undang-undang baharu dan yakin ia mampu memperluaskan hak guru untuk mengajar serta melindungi pelajar.

Author

Pilihan Editor