HomeBeritaViral'Kaki putih macam zombie!' - Doktor sekolahkan netizen risiko kanser kulit

‘Kaki putih macam zombie!’ – Doktor sekolahkan netizen risiko kanser kulit

RATA-RATA wanita pasti mengidamkan kulit putih gebu yang cantik dan menawan sehingga sanggup menghabiskan wang yang banyak bagi mendapatkan produk yang menjaminkan pulangan setimpal.

Bagaimanapun, tidak semua produk kecantikan itu tampak berkesan ibarat ‘indah khabar dari rupa’ apabila hasilnya mengecewakan atau mungkin menakutkan.

Baru-baru ini, tular di media sosial video seorang wanita berkongsi penggunaan serum yang boleh memutihkan tubuh badan.

Menerusi akaun X @farrashafeka, kelihatan seorang wanita menunjukkan penggunaan serum di kakinya.

Menjadi bualan netizen apabila kaki wanita terbabit dikatakan dalam keadaan tidak normal kerana kulitnya yang putih itu membuatkan urat yang berwarna biru dan hijau kelihatan jelas.

Malah, ada juga warga net yang menzahirkan kebimbangan kerana beranggapan kaki wanita terbabit seakan sama dengan kaki mayat.

Keadaan kaki yang dikongsi oleh seorang wanita sambil memberi penjelasan mengenai serum yang digunakannya untuk putih.

Perkongsian itu turut mendapat perhatian para pengamal perubatan seperti Dr Wan yang berkongsi menerusi akaun TikTok @Drwanshare.

Menurutnya, kulit manusia terbahagi kepada tiga jenis lapisan dan lapisan paling atas sekali dikenali sebagai ‘epidermis’.

“Berbalik kepada anatomi kulit kita, Tuhan jadikan lapisan kulit manusia ini ada tiga lapis. Kalau kita tengok kulit wanita ni dengan kulit aku yang putih (sambil tunjuk kaki), tapi salur darah tak nampakpun. Yelah, mungkin aku tak gemuk tapi itu tak kisah bukan pasal gemuk.

“Kalau kita gemuk ke kurus, dia beza dia ada urat itu timbul ataupun tak. Tetapi salur darah dia (kaki wanita terbabit), dia nampak colour terus, betul-betul under the skin.

“Maksudnya kawasan lapisan kulit paling atas dia nipis. Maksudnya lapisan epidermis dia nipis sebab salur darah takkan ada di kawasan epidermis, salur darah hanya akan ada pada bahagian dermis sahaja,” jelasnya menerusi video stitch itu.

Malah, Dr Wan turut mengingatkan bahawa kulit yang terlalu nipis berisiko tinggi untuk mengalami kanser kulit.

“Kalau kita terlalu putih dan kita di kawasan yang tinggi pendedahan dengan cahaya matahari, meningkatkan risiko kena skin cancer.

“Bukan nak rosakkan perniagaan siapa-siapapun tetapi, aku tak tahu la ada apa dalam serum itu sebab dia cakap serum itu dapat memutihkan buku lali yang hitam. Maksudnya dalam itu ada agen pemutih.

“Antara yang boleh memutihkan kulit adalah penggunaan steroid yang berpanjangan sebab menurut kajian, steroid boleh memutihkan sebab dia menipiskan bahagian epidermis,” ulasnya lagi.

Susulan itu, Dr Wan menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu taksub untuk menjadi putih kerana bukanlah warna kulit yang perlu dibimbangkan sebaiknya kesihatan kulit itu yang diutamakan.

@drwanshare

Terlalu putih atau kulit yang terlalu nipis..? #shouldbeme #dr1share #skintones #melanin #melanocytes #skincancer

♬ original sound – DR1 SHARE – DR1 SHARE

Author

Pilihan Editor