UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), menerbitkan modul perintis nanosains dan nanoteknologi yang bersesuaian dengan subjek Kimia Tingkatan 5.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk TS. Dr. Mohd Nor Azman Hassan berkata, pada tahun 2021 terdapat silibus yang menyentuh bidang nanoteknologi telah dimuatkan di dalam buku teks menengah atas iaitu bagi subjek Kimia Tingkatan 5.
“Oleh yang demikian, ION2 UPM sebagai peneraju di dalam bidang nano mengorak langkah terkehadapan untuk menyebarkan, memindahkan dan memastikan ilmu berkenaan nanosains dan nanoteknologi dapat disampaikan secara tepat kepada pelajar.
“Ini dijangka dapat meningkatkan kefahaman dan minat pelajar untuk mendalami bidang nanosains dan nanoteknologi.
“Program pemindahan ilmu kepada guru kimia sekolah menengah merupakan projek yang dilihat dapat membantu dalam memperkasakan ilmu serta pengetahuan berkenaan nanosains dan nanoteknologi,” katanya seperti dilapor portal Relevan.
Katanya lagi, perkara sedemikian amat penting dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, berkemahiran, berpengetahuan, kreatif dan inovatif dalam bidang sains dan teknologi.
Jelasnya lagi, usaha itu selaras dengan aspirasi strategi kedua Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara 2021-2030 (DSNN) iaitu memakmurkan penyelidikan dan pembangunan di dalam nanoteknologi.
Untuk makluman, misi ION3 UPM adalah untuk mencipta program yang sesuai dengan keperluan masyarakat sambil memanfaatkan kepakaran serta sumber yang ada dan akan dimulakan di sekolah menengah di Daerah Hulu Langat.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPM, Prof Dr. Nazamid Saari berkata, permulaan modul itu adalah langkah pertama yang membuka jalan kepada lebih banyak pemindahan dan perkongsian ilmu sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi mengangkat bidang nano ke tahap yang terbaik di sisi masyarakat di negara ini.
“Penerbitan modul pemindahan ilmu nanosains dan nanoteknologi dapat melancarkan pelaksanaan aktiviti pemindahan dan pengembangan ilmu kepada komuniti tersasar secara lebih efektif dengan penyampaian isi kandungan yang tepat, berstruktur dan sistematik.
“Impak penghasilan modul ini akan melancarkan pelaksanaan aktiviti pemindahan ilmu dan berupaya untuk meningkatkan dan mengukuhkan pengetahuan serta pendaya upayaan kefahaman guru-guru dalam bidang nano,” katanya.