SEORANG wanita di China menjawat 16 pekerjaan korporat yang berbeza selama tiga tahun namun tidak pernah masuk kerja di mana-mana syarikat tersebut, lapor media tempatan.
Wanita itu, yang dikenali dengan nama samaran Guan Yue, adalah sebahagian daripada skim penipuan buruh yang besar bernilai hampir $7 juta, lapor akhbar milik negara China, Xinmin.
Akhbar itu berkata, Guan menulis semua nama syarikat yang mengambilnya bekerja di atas kertas dan, ketika menghadiri temuduga pekerjaan baharu, dia akan menyiarkan gambar dari temuduganya itu di saluran kerja syarikatnya, mendakwa dia bertemu dengan pelanggan.
Apabila dia mendapat lebih banyak tawaran kerja hingga tidak lagi mampu mengendalikannya, dia akan memberikan pekerjaan itu kepada seorang kawan dan mengambil komisen daripadanya, lapor akhbar itu, dalam siasatan yang Business Insider tidak dapat sahkan.
Bersama suaminya, yang juga sebahagian daripada skim ini, Guan membeli sebuah apartmen di Shanghai dengan pendapatan, daripada beberapa akaun bank.
Skim itu, yang melibatkan beratus-ratus syarikat, yang dibongkar pada bulan Januari selepas seorang CEO syarikat teknologi internet, yang dinamakan oleh akhbar itu sebagai Liu Jian, mendapati seorang pekerjanya terlepas cakap bahawa dia bekerja untuk syarikat lain pada masa yang sama.
Liu telah mengambil bekerja satu pasukan jualan yang terdiri daripada lapan orang yang pada mulanya kelihatan mengagumkan tetapi selepas tempoh percubaan tiga bulan mereka gagal menunjukkan kemajuan sebenar.
Dia memecat mereka – tetapi tidak lama selepas itu, pemimpin kumpulan, yang dinamakan oleh akhbar itu sebagai Yang Hong, secara tidak sengaja berkongsi imej dalam saluran kerja yang menunjukkan dia juga telah bekerja di tempat lain, mendorong Liu membuat laporan polis. Pada akhirnya, 53 orang ditangkap berhubung dengan kes itu, akhbar itu melaporkan.
Xinmin berkata, penipuan buruh seperti itu merupakan masalah besar di China, dengan anggaran 700-800 kumpulan lazimnya mengambil banyak pekerjaan dari majikan. Mereka, kata akhbar itu, adalah pakar-pakar yang diambil bekerja, menjadi mahir dalam temuduga, dan dengan bangga menunjukkan resume (palsu) mereka yang sempurna.
Apabila tipu helah mereka diketahui, kes-kes sebegini jarang disiasat sebagai jenayah dan sebaliknya ditimbang tara melalui undang-undang pekerjaan – menyebabkan kumpulan itu semakin mahir dalam mengendalikannya, lapor akhbar itu.
Dalam satu kes, sebuah kumpulan berjaya masuk ke sebuah syarikat setelah seorang daripada mereka diambil bekerja dalam jabatan sumber manusia, yang kemudiannya mengambil ahli lain bekerja di situ, kata akhbar itu.