HomeGlobalWanita beranak dalam lif tergamak buang bayi dalam tong sampah

Wanita beranak dalam lif tergamak buang bayi dalam tong sampah

SEORANG wanita yang baru sahaja melahirkan bayi di dalam lif, tergamak membuang anak kandungnya ke dalam sebuah tong sampah.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), wanita itu pada mulanya dilihat membawa sebuah bagasi ke dalam lif di sebuah pangsapuri dekat Barat Daya Chongqing, China pada 21 Ogos lalu.

Tidak lama kemudian, wanita itu melahirkan anaknya dengan cara membongkok dan menarik bayi tersebut dari dalam seluarnya.

Dia kemudian kelihatan tenang mengelap darah pada badan bayi, pakaian dan lantai menggunakan tisu.

Ketika ada individu lain memasuki lif itu, dia cuba menyembunyikan bayi tersebut bagi mengelakkan mereka melihatnya.

Selepas menyedari keadaan sekeliling terkawal, dia keluar dari lif itu sambil membawa bagasinya, sebelum dilihat membuang bayi tersebut ke dalam tong sampah dan menutupnya dengan tisu.

Wanita itu kemudian membersihkan kasutnya yang berlumuran darah sebelum beredar menaiki lif berbeza.

Pada masa sama, seorang wanita warga emas yang berada di lokasi kejadian turut memerhatikan kelakuan aneh wanita itu, namun tidak menyedari kehadiran bayi berkenaan di dalam tong sampah.

Video yang sudah ditonton sebanyak 7.6 juta kali di negara Tanah Besar itu seterusnya menerima kecaman orang ramai.

BAYI SELAMAT DIRAWAT DI HOSPITAL

Video berkenaan sudah mendapat 7.6 juta tontonan di China. -Foto: Agensi

Menurut laporan, bayi tersebut yang tidak dinyatakan jantinanya segera ditemui oleh penduduk pangsapuri tersebut dan dihantar ke Hospital No 5 Chongqing.

Salah seorang pengawal keselamatan hospital itu berkata, wanita tersebut merupakan seorang pelancong dan datang semula ke pusat kesihatan terbabit untuk mengambil semula bayinya.

“Anggota polis juga datang untuk mengambil keterangan daripada wanita itu untuk mengetahui punca dia melakukan perbuatan tersebut,” katanya seperti dilapor South China Morning Post.

Seorang doktor dari bahagian pediatrik hospital itu berkata, bayi tersebut berada dalam keadaan sihat dan sudah dibenarkan keluar.

“Bayi itu dibawa lari oleh ibu bapanya. Semasa berada di hospital, dia dijaga oleh ibu dan neneknya,” kata doktor yang enggan dikenali.

Sementara itu, pihak polis sedang menjalankan siasatan namun masih belum dapat dipastikan sama ada wanita itu akan berdepan sebarang tindakan.

 

Author

Pilihan Editor