HomeBeritaAir pasang merah tidak merebak ke kawasan lain

Air pasang merah tidak merebak ke kawasan lain

BALIK PULAU: Fenomena air pasang merah yang berlaku di perairan Teluk Bahang di sini minggu lalu didapati tidak merebak ke kawasan perairan lain di negeri ini.

Pengerusi Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, setakat ini menerusi pemantauan yang dijalankan oleh agensi terlibat seperti Jabatan Perikanan negeri, fenomena air pasang merah itu kini didapati semakin berkurangan di perairan berkenaan.

“Setakat ini, kejadian air pasang merah ini berlaku di kawasan perairan Teluk Bahang sahaja dan ia tidak merebak ke kawasan lain.

“Ia merupakan satu kejadian alam dan alga berkenaan telah berkurangan selepas kira-kira lima hari berada di perairan Teluk Bahang,” katanya selepas meninjau program Jualan Agro Madani di kawasan DUN Pantai Jerejak di sini hari ini.

Menurut Fahmi, kejadian air pasang merah itu telah mengakibatkan enam penternak ikan dalam sangkar di perairan Teluk Bahang mengalami kerugian selepas 12 tan ikan yang diternak mati.

“Kejadian air pasang merah ini berlaku kira-kira lima hari, dan kerugian yang dialami penternak ikan dalam sangkar adalah kira-kira RM200,000 hingga RM300,000.

“Saya telah membawa perkara ini ke Mesyuarat Exco dan telah memohon bantuan yang sesuai daripada kerajaan negeri untuk mengurangkan beban kerugian yang ditanggung para penternak ikan yang terlibat dengan kejadian ini.

“Mungkin kita akan bantu penternak dari segi pemberian benih ikan, bantuan akan diberikan dengan persetujuan dan kelulusan daripada Ketua Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan kehadiran alga spesies Noctiluca Scintillans di perairan Teluk Bahang itu berpunca daripada aktiviti penambakan laut. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor