TAWAU: Seorang bapa dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap anak lelakinya, Ogos lalu.
Majistret, Don Stiwin Malanjum, memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah daripada tertuduh, Ardi Aris, 32, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap anak lelakinya, Zack Azroy, 13, dengan mengacukan sebilah pisau di rumah keluarga mereka di Batu 8 Jalan Tiku, dekat sini jam 9 pagi, 4 Ogos lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku semasa tertuduh datang ke rumah bekas iparnya, secara tiba-tiba meluru ke dapur dan mengambil sebilah pisau lalu mendatangi mangsa sambil mengacu serta mengarahkannya supaya menunaikan solat.
Mangsa yang dalam ketakutan bagaimanapun bertindak menuruti arahan bapanya itu, sebelum ibu saudaranya menghubungi pihak polis.
Tertuduh yang bekerja di sebuah premis mencuci kereta dan sudah bercerai dengan isterinya itu juga sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu kerana disyaki mengalami masalah mental.
Tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun memohon kepada Mahkamah supaya hukuman diringankan dengan alasan sudah insaf selain menyesal atas perbuatannya itu.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman pemenjaraan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 4 Ogos 2023. – Berita Harian