KUALA KUBU BHARU: Pelakon, Hafidz Roshdi mendedahkan dia menerima rawatan gangguan bipolar iaitu perubahan emosi melampau di Hospital Shah Alam sejak tiga tahun lalu.
Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Hafidz Roshdi, 28, kesihatan mentalnya kini stabil, namun masih perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital.
“Keadaan kesihatan saya sekarang okey, Alhamdulillah. Saya sudah rujuk dengan pihak hospital untuk masalah kesihatan mental saya iaitu bipolar sejak tiga tahun lalu.
“Saya perlu mendapatkan rawatan dan preskripsi ubat selain memeriksa kestabilan hormon,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ditanya mengenai harapannya berhubung pertuduhan kes memukul dan mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada, Hafidz menyerahkan segalanya kepada Yang Esa.
“Semoga keputusannya baik-baik sahaja,” ujarnya.
Berkongsi perkembangan kerjaya seni, aktor tersebut menzahirkan rasa syukur kerana masih menerima tawaran lakonan meskipun dirinya terpalit dengan kes mahkamah dan perceraian baru-baru ini.
“Aktiviti seni masih berjalan seperti biasa. Ada tawaran yang masuk, tetapi kebanyakannya masa tidak mengizinkan. Tiada masalah jika ada pihak yang hendak tawarkan saya berlakon, insya-Allah,” kata bintang drama Melastik Ke Hatimu itu.
Hari ini, Mahkamah Majistret menetapkan 6 dan 7 Februari 2024 bagi perbicaraan yang dihadapi Hafidz atas dakwaan mencederakan Nurul Shuhada yang ketika itu masih bergelar isterinya pada Mac lepas.
Mahkamah Majistret pada 9 Jun lalu diberitahu Hafidz disahkan waras oleh Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak dan layak dibicarakan.
Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya.
Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Julai lalu mengesahkan lafaz cerai talak satu yang dibuat Hafidz terhadap Nurul Shuhada secara lisan pada 22 Februari adalah sah dan mengikut hukum syarak.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua anak iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2. – Kosmo