HomeGlobal'Anda mahu bunuh kami semua!', tawanan Israel maki Netanyahu

‘Anda mahu bunuh kami semua!’, tawanan Israel maki Netanyahu

PERGERAKAN Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menyiarkan video tiga wanita Israel yang menjadi tawanan di Semenanjung Gaza dan menjadi tular sejak Isnin.

Menerusi video itu, tawanan terbabit menyuarakan kemarahan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikutan keenggannya bersetuju dengan perjanjian pertukaran tawanan serta gencatan senjata, susulan serangan berterusan rejim pengganas Israel di Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Wanita terbabit yang merupakan antara 200 warga Israel dijadikan tawanan itu meluahkan rasa kesal dan marah kepada Netanyahu selain mendesaknya untuk membebaskan mereka segera.

Salah seorang daripadanya yang bercakap dalam bahasa Ibrani berkata, Netanyahu bukan sahaja gagal menghalang serangan di Israel, malah tidak mampu menyelamatkan tawanan menerusi persetujuan gencatan senjata.

“Kami tahu bahawa sepatutnya ada gencatan senjata. Anda sepatutnya melepaskan kami semua. Anda bertanggungjawab untuk melepaskan kami semua.

“Kami adalah rakyat yang tidak bersalah. Anda mahu membunuh kami semua. Anda mahu kami mati dan mahu mereka membunuh kami. Anda membunuh ramai orang Israel. Kami mahu kembali ke pangkuan keluarga kami sekarang!” katanya seperti dilapor Press TV.

Hamas dan gerakan pejuang Palestin di Semenanjung Gaza dilapor menawan sekitar 250 orang Israel ketika Operasi Banjir Al-Aqsa.

Sebelum ini, Hamas mengumumkan bahawa kira-kira 50 daripada tawanan telah terbunuh ketika serangan dilancarkan oleh rejim Zionis di Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, rejim Zionis sudah pun membunuh sekurang-kurangnya 8,306 rakyat Palestin termasuk 3,457 kanak-kanak sejak 7 Oktober lalu.

 

Author

Pilihan Editor