HomeBeritaPolitikAnnuar Musa, Shahidan Kassim dilantik AJK PAS

Annuar Musa, Shahidan Kassim dilantik AJK PAS

CYBERJAYA: Dua bekas pemimpin UMNO iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim merupakan antara sembilan ahli jawatankuasa PAS lantikan yang diumumkan parti tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berlangsung semalam bersetuju dengan cadangan dan pelantikan ahli jawatankuasa lantikan dan pesuruhjaya-pesuruhjaya Pas negeri dan Wilayah Persekutuan berdasarkan Fasal 25 dan Fasal 26 Perlembagaan parti.

Selain Annuar dan Shahidan, ahli-ahli jawatankuasa lantikan termasuk Ahli Parlimen Pasir Putih, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Nasrudin Hasan.

Selain itu, turut dilantik pengamal undang-undang, Wan Rohimi Wan Daud; ahli akademik, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Yusni Mat Piah.

Pada masa sama, bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob masih dikekalkan untuk mengetuai PAS Kelantan dalam senarai Pesuruhjaya PAS negeri dan Wilayah Persekutuan.

Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol Perak, Razman Zakaria antara dikekalkan sebagai Pesuruhjaya PAS negeri.

Dalam pada itu, ADUN Paya Jaras dan bekas pensyarah, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri merupakan muka baharu apabila beliau sebagai dilantik Pesuruhjaya Pas Selangor yang sebelum ini disandang oleh Dr. Ahmad Yunus

Untuk rekod, Annuar merupakan bekas Setiausaha Agung UMNO manakala Shahidan pula pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi sebelum menyertai PAS selepas dipecat keahlian UMNO.

Author

Pilihan Editor