AMERIKA Syarikat (AS) “berlebih-lebihan” dalam menjadikan dolar sebagai senjata dengan melakukan sekatan, mendorong lebih banyak negara di seluruh dunia untuk mengurangkan transaksi menggunakan mata wang itu, Elon Musk memberi amaran.
“Anda kini melihat banyak negara mengurangkan urus niaga mereka kerana kita memaksanya. Dan ini melangkaui Rusia, China, dan Iran,” kata pemilik X (dahulunya Twitter) semasa sesi Twitter Spaces yang dihoskan oleh usahawan Amerika, David Sachs pada Isnin.
Musk mengutarakan isu peralihan kepada perdagangan dalam mata wang negara, terutamanya dalam kalangan negara BRICS, sambil menambah bahawa ia bukan pilihan yang dibuat oleh negara-negara tersebut, sebaliknya satu keperluan yang dipaksakan kepada mereka oleh sekatan Barat terhadap Moscow berkaitan Ukraine.
“Negara seperti Brazil atau India masih mahu berurus niaga dengan Rusia. Mereka tidak boleh melakukannya dengan dolar, jadi kita telah memaksa mereka untuk menyahdolar transaksi mereka, sekali gus melemahkan kekuatan dolar di dunia,” jelasnya.
Penggunaan senjata dolar telah mendorong banyak negara untuk mencari alternatif, selepas sekatan berkesan memutuskan Rusia daripada sistem kewangan Barat.
Sebilangan besar ahli ekonomi terkemuka telah berulang kali memberi amaran bahawa penguasaan institusi kewangan berasaskan dolar dan dasar ekonomi AS yang agresif akan mendorong lebih banyak negara di seluruh dunia untuk meninggalkan urus niaga dolar dan beralih kepada mata wang tempatan dalam perdagangan. – RT