KUALA LUMPUR: Komuniti tumpuan iaitu Orang Asli, Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas serta golongan banduan dan pelarian turut tidak ketinggalan mendapat manfaat daripada Belanjawan 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM333 juta diperuntukkan buat Orang Asli, yang mana ia mencakupi pelaksanaan projek pembangunan sosioekonomi, prasarana di perkampungan komuniti itu dan pemberian bantuan sosial.
“Umpamanya, sejumlah RM28 juta diperuntukkan bagi mempergiat program pembangunan usahawan Orang Asli serta penanaman semula ladang Orang Asli antaranya di Batang Padang, Perak dan Hulu Langat, Selangor,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.
Bagi golongan OKU pula, Anwar berkata, sejumlah RM1.2 bilion disediakan untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk penjagaan OKU kronik terlantar, OKU tidak upaya bekerja dan elaun pekerja OKU.
Beliau berkata, kadar elaun pelatih OKU yang mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti akan ditingkatkan kepada RM300 sebulan berbanding RM150 sebulan sebelum ini.
Katanya, peningkatan elaun itu akan memberi manfaat kepada lebih 18,000 pelatih OKU dengan tambahan peruntukan sebanyak RM30 juta.
“Bagi memberikan manfaat kepada usahawan OKU mikro, kemudahan pembiayaan khas oleh BSN (Bank Simpanan Nasional) disediakan sebanyak RM50 juta,” jelasnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejumlah RM1 bilion diperuntukkan untuk melindungi kesejahteraan warga emas.
Beliau berkata, ini termasuk untuk membiayai bantuan tunai dan penyaluran dana bagi institusi penjagaan dan pusat aktiviti warga emas.
“Kerajaan mencadangkan supaya Elaun Bangunan Industri diberikan kepada Rumah Jagaan Kejururawatan Swasta Warga Emas yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan kadar 10 peratus daripada kos bangunan yang dibina atau dibeli, termasuk kos pengubahsuaian bagi setiap tahun taksiran.
“Elaun ini diberi bagi perbelanjaan yang layak dilakukan mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026,” ujarnya.
Tidak terpinggir, kerajaan juga memfokuskan kepada golongan banduan dan pelarian.
Anwar berkata, program Peluang Kedua Anda (PEKA) anjuran Jabatan Penjara Malaysia telah berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada para pesalah yang mengakhiri tempoh hukuman.
Selain meneruskan kerjasama dengan syarikat untuk menjayakan program PEKA, jelasnya, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program PEKA Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),yang menyediakan latihan kompetensi dan diakreditasi oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kepada para pesalah.
“Dalam semangat memberi peluang kedua, kerajaan juga akan membentangkan pindaan bagi Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi membolehkan penagih dadah menerima rawatan dan pemulihan tanpa dimasukkan ke institusi penjara.
“Malaysia tidak terkecuali menerima limpahan tempias akibat krisis kemanusiaan dari negara serantau. Kebanyakan pelarian dan pencari suaka di Malaysia adalah dari Myanmar yang tertindas di negara asal.
“Kerajaan bersedia mempertimbangkan akses yang terkawal kepada keperluan asas termasuk pekerjaan, perkhidmatan serta pendidikan,” tambahnya.