HomeBeritaBelanjawan 2024: RM12.4b peruntukan buat Sabah, Sarawak

Belanjawan 2024: RM12.4b peruntukan buat Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Usaha menzahirkan kesepakatan yang dicapai pemimpin dahulu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus direalisasikan Kerajaan Perpaduan dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani, dengan sejumlah RM12.4 bilion diperuntukkan untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, sebanyak RM6.6 bilion diperuntukkan kepada Sabah, manakala RM5.8 bilion lagi untuk Sarawak.

Jumlah itu merupakan peningkatan daripada RM6.5 bilion (Sabah) dan RM5.6 bilion (Sarawak) dalam Belanjawan 2023.

Beliau berkata, atas semangat MA63, kerajaan Persekutuan juga telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal, di kedua-dua negeri itu bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek-projek terlibat.

Selain itu, Kerajaan Perpaduan juga telah meningkatkan kadar pemberian khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta, berbanding RM16 juta bagi Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini.

Kali terakhir kajian semula pemberian khas itu dibuat adalah pada 1969 (Sarawak) dan 2022 (Sabah).

Anwar berkata, Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 juga telah diluluskan di Dewan Rakyat, Rabu lepas, bagi memperuntukkan wakil kerajaan negeri Sabah yang dinamakan Ketua Menteri Sabah dan seorang wakil kerajaan negeri Sarawak yang dinamakan Premier Sarawak, selaras dengan hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963.

“Kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri Sabah juga telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.

“Kendatipun kuasa kawal selia diserahkan kepada kerajaan negeri Sabah, kerajaan Persekutuan tetap akan terus membantu kerajaan negeri Sabah dalam mengukuhkan industri elektrik di Sabah melalui pemberian subsidi kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehinggalah Pelan Tranformasi SESB berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun iaitu sehingga 2030,” katanya.

Bagi menjamin kestabilan dan mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah, khususnya di kawasan timur Sabah, Perdana Menteri berkata, kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan kepada pelaksanaan penjanaan tenaga secara solar hidrid serta pembinaan jaringan talian penghantar elektrik di selatan Sabah.

“Kerajaan Persekutuan juga sedang berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS) kepada kerajaan negeri,” katanya.

Belanjawan 2024 merupakan belanjawan kedua yang dibentangkan Anwar sejak menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Author

Pilihan Editor