HomeGlobalBengang dihina minta Happy Meal, lelaki acu pistol pada pelanggan McDonald's

Bengang dihina minta Happy Meal, lelaki acu pistol pada pelanggan McDonald’s

SEORANG lelaki bertindak mengacukan pistol ke arah seorang pelanggan restoran terkemuka, McDonald’s di wilayah North Dakota, Amerika Syarikat (AS), gara-gara dihina dan tidak membelikannya set Happy Meal.

Dalam kejadian pada 30 September lalu, George Demarrias, 33, itu pada mulanya menghampiri pelanggan itu dan meminta untuk membelikannya set makanan yang disertakan dengan alat permainan itu.

Namun, pelanggan tersebut, Trent Guthmiller, 43, enggan memenuhi permintaan itu sebaliknya meminta suspek untuk mendapatkan pekerjaan, bagi mendapatkan sendiri sebarang barangan atau makanan yang digemarinya.

Pelanggan itu kemudian terus beratur dan memesan makanan untuk dirinya.

Berang dengan kenyataan itu, suspek kemudian mengikut Guthmiller ke dalam restoran sebelum mengeluarkan pistol dan mengacukannya ke arah mangsa.

Perkara itu disaksikan oleh pelanggan lain termasuk kanak-kanak yang berada di lokasi kejadian.

Suspek menyifatkan bahawa kenyataan mangsa yang memintanya bekerja sebagai tidak beradab.

“Demarrias kemudian memaki hamun Guthmiller dengan panggilan tidak sopan sebelum menyimpan semula senjatanya dan meninggalkan restoran itu, ” menurut polis seperti dilapor New York Post.

Pada masa sama, polis sudah pun menahan suspek dan terpaksa mengacukan pistol ke arahnya dan juga anak perempuannya yang berusia setahun.

Malah, pihak berkuasa itu turut menemui sebutir peluru sepanjang 9 milimeter (mm) yang disimpan di dalam kereta sorong milik anak suspek.

Suspek didakwa melakukan jenayah keganasan dengan senjata berbahaya, menurut laporan polis.

Dia sudah pun berdepan dengan hukuman penjara dan dibebaskan dengan jaminan AS$10,000 (RM47,214), selain diarahkan untuk tidak berhubung dengan mangsa.

Teman wanita suspek, Elouise Flyingby, 27, turut ditahan di luar McDonald’s dan didakwa memberi nama palsu kepada polis.

Wanita itu mengaku bersalah pada Isnin atas tuduhan salah laku dan dijatuhi hukuman penjara selama 10 hari.

Author

Pilihan Editor