HomeBeritaViralBengang gambar dimuat naik di TikTok, pelajar lempang rakan bertubi-tubi

Bengang gambar dimuat naik di TikTok, pelajar lempang rakan bertubi-tubi

KUALA LUMPUR: Kejadian buli di sekolah bukanlah perkara asing, malah menjadi antara cabaran terpaksa dihadapi oleh para pelajar yang sedang meningkat dewasa.

Baru-baru ini, seorang pelajar perempuan bertindak agresif berikutan tidak berpuas hati apabila fotonya ditangkap, sebelum dimuat naik di laman TikTok tanpa pengetahuannya.

Menerusi video tular, pelajar itu pada mulanya dilihat membelek gambarnya yang berada di dalam galeri tablet milik rakannya.

Berang dengan perkara itu, pelajar tersebut kemudian menyoal siasat rakannya berhubung penyebarannya foto berkenaan.

“Mana kau dapat? Mana kau dapat muka tu? Aku tak main handphone kau.

“Lepas tu kenapa kau post?” soalnya sambil menampar muka mangsa berkali-kali.

Rakan-rakannya yang menjadi saksi dilihat cuba meleraikan perkara itu, namun pelajar terbabit meminta mereka untuk tidak campur tangan.

“Aku tak ngam dengan budak ni (mangsa) tapi tiba-tiba muka aku ada dalam fon ini.

“Mana kau dapat? Kau cakaplah. Kau melebih-lebih kan? Aku tahu ramai budak sekolah ni tak puas hati dengan kau yang terpaling psiko.

“Kalau nak post, kau post member kau, bukan muka aku,” tempik pelajar tersebut sambil menampar mangsa.

Ketika kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Ampang, Selangor itu,  mangsa bagaimanapun tidak melawan, sebaliknya hanya mendiamkan diri serta mengesat air matanya.

Tidak dapat dipastikan masa sebenar kejadian, namun difahamkan gambar pelajar tersebut sudah pun dipadam.

Setakat artikel ini ditulis, video berkenaan mendapat lebih 1,300 perkongsian dan rata-rata netizen mengecam perbuatan pelajar terbabit serta menyifatkannya umpama samseng.

Dalam video berasingan, pelajar itu kemudian dilihat melakukan perjumpaan dengan keluarga mangsa.

Berdasarkan rakaman perbualan dalam video itu, pelajar tersebut menjelaskan bahawa dia dan mangsa tidak pernah bertegur sapa, meskipun ditempatkan di kelas yang sama.

“Dia (mangsa) post muka saya dalam TikTok dan saya tak pernah snap dalam handphone.

“Tiba-tiba kawan saya cakap ada dekat TikTok. Saya peliklah kenapa tiba-tiba nak post muka saya. Views dah 309.

“Mungkin saya tak boleh kawal emosi, sebab itu saya melebih sangat. Saya mengaku salah,” kata pelajar tersebut.

Kedua-dua video berkenaan dikongsi di laman Facebook ibu mangsa yang menggunakan nama Waheeda Airny Anuar.

Difahamkan, keluarga mangsa akan membuat laporan polis berhubung kes buli berkenaan.

MEDIA VARIASI masih cuba menghubungi keluarga mangsa untuk mendapatkan maklumat lanjut, namun masih belum ada sebarang respons.

Author

Pilihan Editor