HomeBeritaPolitikBukan Ustaz Hassan Saad, tapi admin 'upload' video Saifuddin

Bukan Ustaz Hassan Saad, tapi admin ‘upload’ video Saifuddin

CYBERJAYA: Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad tampil membuat permohonan maaf susulan video memaparkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dimuat naik di laman Facebooknya baru-baru ini.

Yang Dipertua PAS Baling itu menafikan hantaran tersebut dilakukan oleh dirinya, sebaliknya dimuat naik oleh ‘administrator‘ atau pentadbir halamannya.

“Assalamualaikum, mengambil maklum satu posting video di Facebook ini pada petang semalam (Rabu) telah menimbulkan rasa kurang senang ramai pihak.

“Ingin dijelaskan bahawa posting berkenaan bukanlah dilakukan oleh Ahli Parlimen Baling, YB Ustaz Hassan Saad tetapi oleh salah seorang admin bertugas.

“Justeru, pihak pengurusan ingin memohon maaf di atas kekhilafan yang telah berlaku dan akan memastikan perkara sebegini tidak berulang,” tulisnya di laman Facebook pada Khamis.

Bagi mengambil sikap tanggungjawab, katanya, pentadbir yang memuat naik hantaran berkenaan sudah pun diambil tindakan, iaitu tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran bermula jam 7 malam Rabu.

“Sekali lagi kami pihak pengurusan memohon maaf di atas apa telah berlaku,” katanya.

Pada Rabu, video berdurasi 23 saat memaparkan Saifuddin bersama pasangan bukan Islam dimuat naik di laman Facebook Hassan, sebelum tular di media sosial.

Tangkap layar video dan hantaran di laman Facebook Hassan, yang sudah dipadam (kiri) dan hantaran terbaharu (kanan) yang membuat permohonan maaf.

Hantaran di Facebook Hassan turut mempersoalkan tentang sejak bila Saifuddin menjadi jurunikah kepada pasangan bukan Islam.

Video berkenaan sudahpun dipadam, manakala ruangan komen wakil rakyat PAS itu ditutup.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Rabu menegaskan, sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan di JPN adalah berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164.

JPN berkata, proses pendaftaran Perkahwinan Sivil terbabit tidak melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dan tidak dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.

Pada masa sama, bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut mengesahkan bahawa, proses pendaftaran Perkahwinan Sivil itu hanyalah prosedur biasa di JPN dan sama sekali bukan upacara agama.

Author

Pilihan Editor