DEMI kelangsungan hidup rakyat Palestin yang kini berdepan penderitaan menyayat hati, pelakon, Aeril Zafrel nekad menjual Lamborghini Aventador miliknya bagi menyalurkan separuh hasil jualan kereta mewah itu kepada Persatuan Pencinta Gaza.
Menurut Aeril atau Suhairil Sunari, 35, keputusan itu dibuat berikutan kereta yang dihadiahkan isterinya, Wawa Zainal setahun lalu itu jarang digunakan.
“Selamat tinggal Lambo (Lamborghini). Jarang pakai kereta ini, jadi jual saja.
“Insya-Allah sebahagian hasil jualan ini kita derma ke Palestin,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Dalam pada itu, Aeril yang turut digelar ‘CEO TikTok’ turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sumbangan kepada saudara seagama di Gaza.
Difahamkan, Lamborghini yang dahulunya berharga RM2.27 juta itu telah bertukar tangan kepada pemilik baharu.