CYBERJAYA: Setelah beberapa pihak bertindak memboikot penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt (Frankfurter Buchmesse), kini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tampil mengikut jejak langkah sama.
Dalam satu kenyataan ringkas pada Isnin, DBP membatalkan penyertaannya dalam pesta buku itu, yang menyatakan sokongan rasmi terhadap Israel.
“Selaras dengan pendirian kerajaan dalam konflik Palestin-Israel pada ketika ini, DBP memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023,” tulisnya.
Terdahulu, penerbit Buku Fixi, dalam akaun rasmi di X menggesa beberapa agensi kerajaan untuk memboikot pesta buku terbabit.
Frankfurter Buchmesse sebelum ini menyatakan solidariti mereka terhadap Israel, dengan menyifatkan serangan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) ke atas Israel adalah ‘melanggar hak asasi manusia”
Pengarahnya, Juergen Boos dalam laman sosial rasmi Frankfurter Buchmesse menyebut, “keganasan” Hamas terhadap Israel bertentangan dengan nilai yang dipertahankan acara itu.
“Frankfurter Buchmesse bersolidariti dengan menyebelahi Israel,” katanya.
Susulan itu, Frankfurter Buchmesse turut membatalkan majlis penganugerahan kepada penulis Palestin, Adania Shibli, 49 yang sepatutnya menerima Anugerah Liberatur yang dianjurkan oleh Litprom, persatuan kesusasteraan Jerman.
Penganugerahan itu berdasarkan naskhah tulisannya, A Minor Issue yang menceritakan kisah benar membabitkan gadis Palestin dirogol dan dibunuh tentera Israel pada 1949.
Shibli sepatutnya menerima penganugerahan itu pada 20 Oktober di Frankfurter Buchmesse.
Malaysia menghantar delegasi ke Frankfurter Buchmesse kali ini dengan jumlah peserta sekitar 53 orang merangkumi penerbit, penulis dan ejen sastera.
Ia dikendalikan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), agensi di bawah Kementerian Pendidikan.
Bagaimanapun setakat ini MBKM belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pendirian Frankfurter Buchmesse.
Frankfurter Buchmesse kali ke-75 akan berlangsung pada 18 hingga 23 Oktober akan disertai sekitar 100 negara dengan Slovenia diberi penghormatan sebagai negara tamu.