CYBERJAYA: Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai seorang usahawan popular dikritik warga net selepas mengeluarkan produk bertemakan palestin yang dijual dengan harga mahal.
Pemilik jenama dUCK, Vivy Yusof tampil memberi penjelasan terhadap beberaoa isu yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak terhadap produk terbarunya.
Vivy menerusi IG story, memaklumkan, bahawa syarikatnya sama sekali tidak akan mengambil sebarang wang hasil pembelian pelanggan menerusi koleksi dUCK Palestin.
Menurutnya, semua keuntungan yang diperolehi akan disalurkan terus ke organisasi bukan kerajaan (NGO) Viva Palestina Malaysia (VPM) bagi membantu dari segi hospital, bekalan perubatan, tempat perlindungan dan makanan di sana.
Malah, beliau juga menegaskan bahawa tiada pembayaran balik cukai dengan jualan amal yang dibuat menerusi koleksi dUCK Palestin seperti yang didakwa ramai.
Perkara ini boleh disahkan bersama Viva Palestina Malaysia sendiri.
Tambah Vivy, pengeluarannya koleksi khas ini adalah atas permintaan orang ramai yang mahu memakainya sebagai tanda solidariti kepada Palestin.
Malah, dengan mereka memakainya, ia boleh menambah kesedaran berhubung konflik yang berlaku di sana dan memberi sokongan kepada Palestin.
Sehubungan itu, pihak dUCK boleh menyebarkan kesedaran dengan medium sebegini tanpa mengambil sebarang keuntungan.
Justeru, Vivy turut menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada NGO yang dipercayai.