HomeGlobalLebih 130 orang pengsan lepas masuk 'taman beracun'

Lebih 130 orang pengsan lepas masuk ‘taman beracun’

LEBIH 130 orang dilaporkan pengsan selepas memasuki taman paling berbahaya di United Kingdom (UK) dikenali Poison Garden, baru-baru ini.

Lapor Daily Mail, kawasan itu yang terletak di Istana Alnwick di Northumberland turut menyimpan tumbuhan paling berbisa di dunia dipanggil Gympie Gympie yang dikatakan seperti asid panas jika terkena pada kulit.

Malah, lokasi itu juga menjadi pusat penyimpanan lebih seratus tumbuhan narkotik, bertoksik dan memabukkan.

Difahamkan, tumbuhan berkenaan diletakkan di sebalik pagar besi hitam dan pelawat hanya boleh melangkah masuk dalam lawatan berpandu tetapi orang ramai dilarang sama sekali menghidu, menyentuh atau merasai sebarang tumbuhan.

Namun, amaran yang diberikan tidak menghalang kemalangan daripada berlaku ketika lawatan ke ‘taman beracun’ itu.

Ketua Penjaga Poison Garden, John Knox berkata, sejak Januari, lebih 61,000 orang melawat taman itu dan kemungkinan untuk pengsan di Poison Garden adalah sekitar 0.02 peratus.

Menurutnya, terdapat lebih 130 orang yang pengsan, 11 lagi mengalami muntah-muntah dengan dua ambulans dipanggil sepanjang tahun ini.

“Kami boleh mengambil 20 pelawat dalam satu masa untuk menyaksikan sendiri pelbagai tumbuhan beracun termasuk Hogweed gergasi yang boleh meninggalkan kesan lecur pada kulit jika disentuh dan Waterdrop Hemlock yang menyebabkan banyak kematian di UK berbanding tumbuhan lain.

“Menjadi tugas kami untuk memberitahu kebenaran tentang dunia racun dan peranan mengerikan yang dimainkan oleh beberapa tumbuhan ini dalam kes pembunuhan sebenar serta perkara yang mengerikan dalam sejarah,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor