KUALA LUMPUR: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tampil menjelaskan punca padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini, mengalami kerosakan ketika aksi Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan India pada Jumaat.
PSM dalam kenyataan memaklumkan, beberapa tompok bertentangan ‘grandstand‘ kurang kukuh akibat pendedahan cahaya matahari yang lebih rendah di kawasan terbabit.
Sambil menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku, PSM berkata, pihaknya sudah menggunakan ‘grow light‘ bagi merangsang pertumbuhan rumput di sekitar kawasan tompokan itu, namun tetap tidak sama dengan keupayaan sinaran matahari semulajadi.
PSM bagaimanapun yakin, perkara itu akan diatasi dan tompokan tertentu di padang Stadium Nasional bakal pulih sepenuhnya menjelang saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pertengahan bulan depan.
“Untuk makluman, standard tempoh masa penyediaan secara rapi rumput padang seharusnya mengambil masa 12 bulan untuk keseluruhan proses siap sepenuhnya. Walau bagaimanapun, pihak PSM hanya mempunyai tempoh lapan bulan.
“Keadaan hujan sepanjang minggu lalu juga tidak membantu dalam penyediaan pertumbuhan padang baharu itu. Di sebalik beberapa tompokan rumput yang tercabut, PSM berpuas hati dengan keupayaan sistem perparitan baharu dan kemajuan dalam padang berkenaan.
“PSM ingin mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya dan peminat bola sepak negara yang hadir memberikan sokongan. PSM akan menggunakan sepenuhnya masa sebulan akan datang untuk memastikan persediaan lengkap padang menjelang kelayakan Piala Dunia bagi pasukan Malaysia,” jelas PSM.
Kualiti padang di Stadium Nasional yang baru selesai dinaik taraf mendapat kritikan hebat daripada banyak pihak, susulan rumput di gelanggang rasmi Harimau Malaya itu tercabut di beberapa bahagian padang ketika aksi Malaysia menentang India.
Aksi Malaysia berdepan India itu adalah perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Nasional selepas ia ditutup sejak tahun lalu bagi kerja naik taraf.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi berkata, pihaknya telah disarankan supaya tiada sesi ujian padang diadakan di SNBJ sebelum aksi final Pestabola Merdeka 2023 menentang Tajikistan pada Selasa depan.
Beliau berkata, saranan itu diberikan oleh pihak kontraktor yang membuat kerja-kerja penukaran padang, susulan insiden rumput tercabut dan tompok di beberapa bahagian pada Jumaat malam.