KUALA LUMPUR: MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) memohon maaf kepada penumpang dan agensi penerbangan yang terjejas akibat penggantungan operasi syarikat itu.
Eksekutif interim MyAirline, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, syarikat itu kini dalam proses mempercepatkan proses bayaran balik wang dan berharap kesemua penumpang MyAirline untuk bersabar.
“Kami juga sedang dalam usaha mewujudkan talian ‘hotline’ bagi membantu penumpang kami yang terjejas dengan lebih baik dan memudahkan proses bayaran balik, mereka (penumpang) digalakkan untuk menyediakan nombor tempahan mereka (PNR) dan e-melkannya kepada kami di customercare@myairline.my,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Azharuddin berkata, kesemua pekerja MyAirline masih dalam penggajian penuh dan tiada pekerja yang diberikan cuti tanpa gaji.
Khamis lalu, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa serta-merta sehingga diberitahu kelak.
Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan, keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan, yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.